Al-Muflihin johan Pertandingan Hadrah Belia-Belia Masjid

Al-Muflihin johan Pertandingan Hadrah Belia-Belia Masjid

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mac – Pasukan Al-Muflihin dari Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah telah diumumkan sebagai juara Pertandingan Hadrah bagi Kumpulan Belia-belia Masjid Daerah Brunei dan Muara bersempena dengan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan ke-69, sekali gus membawa pulang piala pusingan.

Manakala itu, tempat kedua disandang oleh Pasukan Miftahul Asrar juga dari Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, yang turut diumumkan sebagai juara kategori gubahan lagu. Tempat ketiga pula disandang oleh Pasukan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

Penyampaian hadiah pada majlis yang berlangsung di Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Mukim Tamoi, hari ini, disempurnakan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Dato Paduka Dr Haji Affendy menyampaikan hadiah kepada johan pertandingan Pasukan Al-Muflihin dari Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah.
Dato Paduka Dr Haji Affendy menyampaikan hadiah kepada johan pertandingan Pasukan Al-Muflihin dari Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah.

Pertandingan anjuran ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah ini telah disertai lapan buah pasukan.Pegawai Hal Ehwal Masjid berkenaan, Awang Faizal bin Rosli @ Janif, selaku pengerusi majlis dalam ucapannya menjelaskan bahawa pertandingan hadrah ini bertujuan untuk menyemarakkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan sekali gus memberikan ruang kepada para belia untuk terus giat dalam kegiatan hadrah ini.

Beliau melahirkan harapan agar para belia akan dapat memupuk minat mereka dan sering kali bergiat dalam mana-mana aktiviti belia masjid agar masjid-masjid di negara ini akan sentiasa diserikan lagi dengan para belia masa kini dengan melakukan aktiviti bermanfaat dan membawa berkat kepada Allah S.W.T.

ARTIKEL YANG SAMA