Al-Qaeda di Syria bertempur dengan pemberontak, rampas senjata

Al-Qaeda di Syria bertempur dengan pemberontak, rampas senjata

BEIRUT, 13 Mac (AFP)– Para pejuang Al-Qaeda dan kumpulan jihad bersekutu bertempur dengan puak pemberontak semalam di barat laut Syria selepas menyerbu depot senjatanya, menurut kumpulan dan pemantau hari ini.

Dalam Tweet yang disiarkan pada pagi ini, Divisyen 13 mengatakan ia gagal untuk menyerang balik gabungan puak Syria Al-Qaeda, Al-Nusra Front dan puak bersekutu Jund al-Aqsa.

Divisyen 13 mengatakan kumpulan jihad ‘menyerbu semua pangkalan kami dan merampas semua senjata dan peralatan’ di bandar Maarat al-Numan di wilayah Idlib.

“Kami mengucapkan tahniah (ketua Al-Nusra, Mohammad) al-Jolani dengan penaklukan ini!” siar kumpulan itu secara sarkastiknya dalam Twitter.

Menurut kumpulan pemantau Balai Cerap Hak Asasi Kemanusiaan Syria, pertempuran itu mengakibatkan sekurang-kurangnya enam penempur mati, empat daripada mereka dikenal pasti sebagai pejuang Divisyen 13.

“Al-Nusra dan Jund al-Aqsa menculik sekurang-kurangnya 40 anggota Divisyen 13, yang mana komandernya telah hilang,” ketua Balai Cerap, Rami Abdel Rahman memberitahu AFP.

Menurutnya kumpulan jihad telah menghapuskan depot Divisyen 13 di Maarat al-Numan dan tiga bandar-bandar berhampiran, merampas peluru berpandu TOW anti-kereta kebal buatan AS.

Perikatan pemberontak yang diketuai oleh Al-Nusra dan puak Islamis Ahrar al-Sham menakluki sepenuhnya wilayah Idlib tahun lepas.

Al-Nusra sebelumnya telah menyerang puak lain yang mendapat sokongan dari Amerika Syarikat. Pada musim panas 2015, ia telah menculik beberapa anggota kumpulan pemberontak Divisyen 30 latihan AS.

ARTIKEL YANG SAMA