Al-Quran berusia lebih 300 tahun jadi khazanah

Al-Quran berusia lebih 300 tahun jadi khazanah

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) – Beberapa naskhah Al-Quran dan kitab-kitab lama berusia lebih 300 tahun yang ditemui di wilayah selatan Thailand menjadi khazanah penting dan bernilai bagi penduduk Islam di wilayah itu.

Pengetua Sekolah Menengah Samanmit Vittaya di wilayah Narathiwat, Mahamad Lutfi Hajisamae, yang memulakan inisiatif pengumpulan bahan-bahan tersebut, berkata sekolah berkenaan menjadi pusat penyimpanan kitab-kitab yang dikumpulkan sejak dua tahun lepas.

“Al-Quran yang dihimpunkan itu merupakan pusaka daripada nenek moyang saya dan sesetengahnya diperoleh dari luar negara seperti Yemen, Arab Saudi dan Indonesia. Kami juga berjaya menghimpunkan beberapa buah al-Quran daripada penduduk yang tinggal di kawasan ini.

“Ada al-Quran yang berasal dari Yemen yang ditulis pada tahun 1634,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata terdapat al-Quran dan kitab yang dikumpulkan itu masih berada dalam keadaan baik dan sebahagian besar hampir rosak serta terkoyak sehingga perlu menggunakan sarung tangan untuk menyentuh naskhah berkenaan.

“Ia perlu disimpan di dalam bilik kedap udara bagi mengelak daripada sebarang kelembapan udara supaya naskhah berkenaan tidak bertambah rosak,” katanya.

Mahamad Lutfi berkata sebanyak 74 naskhah al-Quran sudah dibaiki oleh pakar dalam bidang pemulihan di Turki dan kini disimpan di bilik penyimpanan al-Quran di sekolah itu manakala 29 buah lagi masih dalam proses pemulihan.

Sebagai langkah pemuliharaan naskhah berkenaan, Mahamad Lutfi berkata Kementerian Kebudayaan Thailand sedang bekerjasama dengan kerajaan Turki bagi membina sebuah Muzium Perhimpunan Pusaka Islam di sekolah itu.