Al-Quran cahaya Allah

Al-Quran cahaya Allah

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Julai – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, Al-Quran adalah cahaya Allah Subhanahu Wata’ala, maka itu setiap kita janganlah mengabaikan cahaya itu tetapi mesti sama-sama merebut peluang memilikinya.

“Turunnya Al-Quran ke alam ini menjadikan kegelapan bertukar menjadi cahaya, dunia yang sebelumnya gelap gelita menjadi terang benderang kerananya, inilah keramah dan mukjizat Al-Quran itu,” titah Baginda pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Bagi Tahun 1436H/2015M yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas malam ini.

Baginda seterusnya bertitah bulan Ramadan adalah bulan rahmat, bulan maghfiah (keampunan), bulan yang membawa keberuntungan dan salah satu peristiwa besar yang berlaku di dalamnya ialah turunnya kitab Suci Al-Quran yang di kenali sebagai Nuzul Al-Quran.

Peristiwa ini tercatat di dalam Al-Quran sendiri, sebagaimana firma Allah Subahanahu Wa Ta’ala dalam Surah Al Bakarah Ayat 185 tafsirnya; “Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah pada bulan Ramadan yang diturunkan padanya Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu serta menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.”

Titah Baginda, cara untuk memiliki cahaya Al-Quran itu tidak lain daripada pandai dan rajin membacanya, tanpa pandai dan rajin membaca cahaya itu tidak akan mungkin diperolehi.

Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah pada Sambutan Nuzul Al-Quran bagi tahun 1436H/2015M yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berkas, malam tadi. - Gambar oleh Muiz Matdani
Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah pada Sambutan Nuzul Al-Quran bagi tahun 1436H/2015M yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berkas, malam tadi. – Gambar oleh Muiz Matdani

“Alhamdulillah, di Negara Brunei Darussalam tempat untuk belajar membaca Al-Quran tidaklah sukar untuk didapati seperti di masjid, surau, balai ibadat, institusi pendidikan kerajaan mahupun swasta.

“Mata pelajaran tafsir juga turut diadakan di setiap peringkat persekolahan, ini adalah bertujuan supaya generasi kita bukan saja pandai membaca Al-Quran itu tapi mampu untuk memahami isi kandungannya,” titah Baginda.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut melahirkan rasa sangat gembira, bahawa usaha-usaha untuk memartabatkan Al-Quran di negara ini telah banyak di ungkayahkan seperti melalui penubuhan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, menganjurkan musabaqah, membaca dan menghafaz Al-Quran secara berterusan dan kita juga telah melibatkan dalam musabaqah membaca dan menghafaz yang diadakan di luar negara sama ada di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Lebih-lebih lagi kerana dalam penyertaan itu, kita juga turut meraih beberapa pencapaian baik yang mengharumkan nama negara,” titah Baginda.

Menyentuh mengenai tema sambutan tahun ini, ‘Al-Quran Penawar dan Rahmat,’ Baginda bertitah, tema ini merujuk kepada fungsi kitab suci Al-Quran sendiri iaitu selain daripada petunjuk, ia juga adalah penawar dan rahmat.

“Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Isra ayat 82 tafsirnya; ‘… dan Kami turunkan daripada Al-Quran itu penawar bagi penyakit-penyakit rohani dan jasmani dan rahmat bagi orang-orang yang beriman’.

“Dari mafhum ayat ini, perkara yang penting itu di sini ialah iman, kita membaca, menghafaz dan mengambil pengajaran daripadanya hendaklah dengan iman.

“Imanlah syarat tunggal untuk kita dapat memperoleh penawar dan rahmat tersebut,” titah Baginda sambil menambah bahawa iman itu ialah dalam makna percaya dan mematuhi dengan sepenuh hati akan segala suruhan dan tegahan Allah tanpa sebarang keraguan atau bantahan.

“Inilah ciri orang beriman itu dan jika ini ada insya Allah Al-Quran yang kita baca atau hafaz akan jadi penawar dan rahmat kepada kita.”

Baginda Sultan mengakhiri titah dengan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para peserta yang telah berjaya mendapat tempat di musabaqah Menghafaz Al-Quran berserta Pemahamannya Peringkat Negara dan juga Peringkat Negara Anggota MABIMS terutama peserta di bawah umur.

Baginda melihat bahawa mereka ini mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang Al-Quran, semoga mereka akan terus berkembang untuk meraih kegemilangan lebih bermakna selaku anak bangsa mewakili zaman.

ARTIKEL YANG SAMA