Al-Quran disemai dalam hati

Al-Quran disemai dalam hati

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Okt – Seramai 46 orang murid Darjah 6 Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al-Islam, Kampung Mulaut hari ini diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran setelah menamatkan bacaan 30 Juzuk Al-Quran.

Majlis yang berlangsung di dewan serba guna sekolah agama berkenaan antara lain bertujuan untuk memberi galakkan kepada murid Darjah 6 untuk mengkhatamkan Al-Quran sebelum menamatkan persekolahan agama.

Selain itu, ia juga mendidik murid supaya sentiasa membaca Al-Quran dengan betul seterusnya menitikberatkan pembacaan Al-Quran secara bertajwid sekali gus menjadikan aktiviti membaca Al-Quran sebagai amalan harian dalam kehidupan.

Pada majlis itu, Pengurus Operasi Sekolah Menengah Awang Semaun, Kluster 2, Haji Muhammad Safwan bin Abdullah Teo hadir selaku tetamu kehormat majlis sekali gus mendahului acara merenjis minyak wangi dan menyampaikan sijil khatam kepada peserta khatam.

Peserta-peserta khatam sekolah berkenaan yang diraikan.
Peserta-peserta khatam sekolah berkenaan yang diraikan.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Haji Muhammad Safwan diikuti dengan bacaan surah-surah oleh peserta khatam.

Kemudian, bacaan takhtim dibawakan oleh murid perempuan Darjah 5, Doa Khatam dibacakan oleh pelajar Darjah ‘6 Ba’, Awang Ilham Rosie Shahrizal bin Durasid dan bacaan Doa Selamat oleh guru sekolah berkenaan, Awang Jaman bin Haji Munab @ Munap.

Majlis diserikan dengan Dikir Marhaban oleh pelajar lelaki sekolah berkenaan diikuti dengan acara merenjis minyak wangi oleh tetamu yang hadir.

ARTIKEL YANG SAMA