ALAF BIBD bantu pembangunan pelajar

ALAF BIBD bantu pembangunan pelajar

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mac – Dengan hasrat untuk menyokong pembangunan dan perkembangan para pelajar di bawah Program ALAF, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah mengadakan beberapa kem pembelajaran yang bermatlamat untuk membantu membina keyakinan diri, keupayaan berkomunikasi dan untuk menanam perasaan penghargaan dalam penyertaan program itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BIBD, di sini, hari ini, kem pembelajaran itu dibahagikan kepada tiga dengan kem pertama ialah Kem Refresher yang telah bermula pada 26 Mac di mana ia merupakan kem khusus untuk pelajar-pelajar baru program iaitu seramai 46 orang pelajar yang dianugerahkan serta dimasukkan ke dalam Program ALAF 2016.

Sementara itu, kem kedua dan ketiga ialah Kem Program Cuti Bahasa Inggeris (H.E.L.P) yang disertai oleh kira-kira 80 orang pelajar, di mana kem itu dianjurkan dengan kerjasama CfBT yang menyampaikan pembelajaran dan latihan Bahasa Inggeris kepada para pelajar Program ALAF BIBD.

Kem H.E.L.P itu merangkumi siri ceramah dan pelbagai kegiatan yang mempromosikan kerja-kerja berpasukan antara para peserta. Ia direka khusus untuk menanam kepercayaan dalam diri para peserta terhadap kebolehan mereka dalam Bahasa Inggeris dan juga menanamkan tabiat latihan pelajar yang baik.

Program ALAF BIBD pada masa ini disertai oleh lebih 100 orang pelajar di mana dana bagi program itu dikutip melalui pelbagai usaha tanggungjawab sosial korporat BIBD termasuk penganjuran Ekspedisi Amal BIBD bagi ALAF dan juga menerusi sumbangan derma dan penderma pemurah hati daripada agensi-agensi korporat dan orang persendirian.

Para peserta kem bergambar ramai dengan sijil penyertaan mereka.
Para peserta kem bergambar ramai dengan sijil penyertaan mereka.

Program ALAF dilancarkan pada Mei 2013 oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, yang diwujudkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi memastikan kerjasama rapat antara semua pihak supaya pelaksanaannya serta peruntukan bantuan untuk Program ALAF dapat dikendalikan dengan jayanya.

Para pelajar di bawah program ini menerima bantuan bayaran yuran sekolah dan tuisyen, alat tulis, pengangkutan dan keperluan makanan dan juga keperluan-keperluan lain. Semua ini bertujuan memastikan pelajar-pelajar terbabit dapat memberikan sepenuh tumpuan terhadap kemajuan pendidikan mereka tanpa perlu memikirkan komitmen yang lain.

Program ini terus memberikan bantuan dan sokongan kepada para pelajar terbabit sehingga mereka tamat pengajian. Menerusi ALAF, BIBD berharap untuk menyokong visi 2035 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, iaitu untuk mencapai tahap 100 peratus pendidikan untuk semua di mana ia diharap akan dapat mengurangkan kemiskinan dan membawa negara ke arah masa depan yang lebih makmur dan aman serta menjadikan Brunei sebagai negara yang mempunyai penduduk yang berpendidikan, berkemahiran tinggi serta berjaya selaras dengan standard antarabangsa.

Selain daripada mengambil bahagian dalam acara seperti CE ALAF, orang ramai yang ingin menyumbang kepada Tabung ALAF BIBD boleh membuat sumbangan derma minimum sebanyak $1.01 ke dalam akaun ALAF BIBD, 1018181811.

Sumbangan juga boleh dibuat dengan mudah melalui rangkaian BIBD yang sedia ada seperti laman sesawang BIBD Online, aplikasi BIBD Mobile, BIBD ATM dan CDM atau kaunter-kaunter cawangan BIBD.

Orang ramai juga boleh membuat arahan tetap BIBD bagi memastikan bahawa sumbangan bulanan dapat disalurkan ke dalam tabung ALAF. Di samping itu, bagi pemegang akaun BIBD, mereka juga boleh menggunakan Mata Hadiah BIBD yang dikumpul mereka untuk ditukarkan menjadi sumbangan ke dalam akaun Tabung ALAF.

Sementara itu, pelanggan Progresif juga boleh membuat sumbangan derma kepada Program ALAF melalui perkhidmatan SMS dengan menyatakan jumlah sumbangan iaitu $1,5,10,15 dan 20 dengan menaip, ALAF dan memasukkan jumlah sumbangan serta menghantar pesanan itu ke talian 38988.

ARTIKEL YANG SAMA