Alami dunia perniagaan sebenar

Alami dunia perniagaan sebenar

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 6 Mei – Sebagai projek tahun akhir, seramai 27 pelajar, Sekolah Vokasional Sultan Bolkiah (SVSB), berpeluang merasakan sendiri kehidupan sebagai peniaga dengan membuka perniagaan mereka di Pusat Membeli-Belah KBSentral selama enam minggu bermula hari ini.

Para pelajar berkenaan adalah pelajar Tahun 2 yang mengambil Kursus Diploma dalam Pembiayaan Perniagaan dan Pemasaran Perniagaan.

Bercakap bagi pihak pelajar, pengurus bagi salah sebuah kumpulan yang menamakan perniagaan mereka StrateCore, Carl Leong Lok Wen berkata, 27 pelajar berkenaan dibahagi kepada empat kumpulan dan di samping kumpulannya, tiga kumpulan lagi menamakan perniagaan mereka Exitoso, D’Heat dan Fancyteers.

“Salah satu keperluan projek ini adalah untuk kami semua berniaga untuk satu hari setiap hari Rabu pada setiap minggu dan objektif kami adalah untuk mempelajari selok-belok hidup berniaga dan mengikuti gaya (trend) dan lumrah perniagaan, dan menulis satu laporan berdasarkan penemuan kami dan dijadikan sebagai kertas kerja,” Carl menjelaskan.

Produk yang diketengahkan oleh empat kumpulan berkenaan merangkumi seni dan kraf tangan, aksesori telefon dan perhiasan, dan juga alat elektronik untuk kereta dan sistem bunyi kereta.

pg07_150507_c

Carl berkata mereka berniaga setiap hari Rabu untuk mempelajari selok-belok dan lumrah dunia perniagaan.
Carl berkata mereka berniaga setiap hari Rabu untuk mempelajari selok-belok dan lumrah dunia perniagaan.

Menurutnya lagi, setiap minggu penyelia mereka akan datang untuk memeriksa kemajuan mereka dan membuat laporan berdasarkan pencapaian dan pendapatan mereka.

Selain daripada mempelajari cara-cara berniaga, tambahnya, pelajar-pelajar yang menduduki kursus Diploma dalam bidang Pemasaran Perniagaan akan dapat mempelajari cara-cara pengurusan acara sementara bagi pelajar dari kursus Diploma dalam bidang Pembiayaan Perniagaan pula akan dapat mempelajari cara-cara pengurusan wang.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai projek ini, Carl berkata mereka membuat pemasaran sendiri secara dari mulut ke mulut, serta pengiklanan melalui kertas edaran poster dan melalui platform media sosial seperti di Facebook, Twitter dan Instagram.

ARTIKEL YANG SAMA