Alami gangguan bekalan air ekoran fenomena El-Nino

Alami gangguan bekalan air ekoran fenomena El-Nino

KENINGAU, 21 Mac (Bernama) – Beberapa kawasan di Mukim Bingkor mengalami gangguan bekalan air bersih ekoran fenomena El-Nino serta musim panas dan kering yang melanda negara.

Antara kampung yang terputus bekalan air sama sekali ialah Kampung Sandapak, Kampung Singgahmata dan Kampung Binkor Lama.

Seorang penduduk Kampung Bingkor Lama, Juanita Ribus, 43, berkata sejak sebulan lepas, tekanan air di kampungnya menjadi rendah dan dalam tempoh dua minggu bulan ini, bekalan air ke kampungnya terputus sama sekali.

“Kami kini cuma bergantung kepada air yang kami simpan dalam tangki dan air hujan yang kami tadah sebelum ini sebagai sumber air kami.

“Kalau untuk minum dan masak, kami menggunakan air minuman dalam botol. Kami terpaksa tumpang mandi dan mencuci kain di rumah ibu bapa kami di Kampung Bingkor Baru yang masih ada bekalan air. Kadang-kadang kami juga pergi ke kedai dobi atau Sungai Bayayo (untuk membasuh kain),” katanya ketika dihubungi.