Alami keseronokan Mathamazing di OGDC

Alami keseronokan Mathamazing di OGDC

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 9 Mei – Pameran Mathamazing yang sudah pun dibukakan kepada kunjungan orang ramai sejak 7 Mei lalu di Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC), menampilkan lebih 20 bahan pameran yang beraneka warna, dicipta oleh Questacon – Pusat Sains dan Teknologi Kebangsaan Canberra, Australia akan berlangsung sehingga 15 September.

Pameran terkini yang diketengahkan oleh OGDC itu, bertujuan untuk mempromosikan pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di negara ini, dan dihasratkan dapat membantu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan kalangan pelajar tempatan dan dalam masa yang sama dapat mendidik orang awam tentang keseronokan Matematik.

Matematik dikenali sebagai salah satu subjek yang mencabar dihadapi oleh para pelajar, sehubungan itu, Mathamazing akan membolehkan guru dan pelajar mengalami matematik dalam pencerahan yang berbeza, dan akan mampu memupuk minat mereka dalam subjek itu.

Haji Abdul Rahim ketika meninjau pameran baru Mathamazing di OGDC bersama para pelajar, baru-baru ini.
Haji Abdul Rahim ketika meninjau pameran baru Mathamazing di OGDC bersama para pelajar, baru-baru ini.

Mathamazing mempunyai konsep seperti kon, tipologi, teori nombor, kebarangkalian dan statistik, logik dan penyelesaian masalah yang diterokai dalam satu cara interaktif yang menyeronokkan, membantu pengunjung untuk minat belajar matematik, dan mengalami koleksi warna serta teka-teki yang turut melibatkan minda dan badan dalam dunia Matematik, selain turut diselitkan dengan aktiviti yang berkaitan dengan matematik semasa berkunjung ke pameran itu.

Perasmian pameran itu telah dilancarkan baru-baru ini oleh tetamu kehormat, Ketua Pengarah Pendidikan, Haji Abdul Rahim bin Darus yang turut dihadiri pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), para pengetua, guru dan pelajar.

Pusat OGDC akan dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 4 petang dan untuk pertanyaan lanjut, bolehlah menghubungi kaunter OGDC di talian 3377200 atau melalui e-mel info@ogdcbrunei.com.

ARTIKEL YANG SAMA