Alas bermain anak kecil

Oleh Amri HTZ

 

MEMILIKI seorang anak kecil baru bermakna kita perlu mempelajari pelbagai perkara baru untuk dirinya. Sewaktu ia mulai belajar bergerak, barulah disedari bahawa ia memerlukan satu alas khas untuk dirinya agar merasa selesa dan tidak mudah tercedera tatkala ia sedang bermain. Alas untuknya bermain begitu penting dan bagi mendapatkannya, anda hanya perlu membuatnya sendiri dengan beberapa peralatan diperlukan.

Barangan yang diperlukan

Bagi membuat alas tempat untuk anak kecil bermain ini, beberapa barangan diperlukan seperti satu ela fabrik kapas bercetak (dengan pelbagai corak), satu ela fabrik kapas keras yang akan digunakan untuk bahagian bawah alas, satu ela kapas batting (berbentuk kapas lembut dan ringan), tiga ela Double Fold Bias Tape (digunakan untuk bahagian tepi alas), mesin menjahit, jarum peniti, kertas parchment, pen fabrik, gunting fabrik dan benang yang sepadan dengan warna fabrik yang digunakan.

Langkah penting perlu dilakukan

Beberapa langkah mudah yang perlu dilakukan untuk mereka alas tersebut. Sebelum memulakan projek, adalah dinasihati untuk mencuci kesemua fabrik sebelum menjahitnya. Ini adalah untuk memastikan semua fabrik akan berada pada saiz yang sama setelah ia dicuci (sesetengahnya mengecut dan ada kalanya melebar).

Untuk langkah pertama, letakkan kesemua material yang telah disediakan pada tempat bekerja anda dengan memastikan kesemua fabrik disusun di atas setiap fabrik. Ratakan dengan berhati-hati untuk memastikan tiada kedutan bagi setiap lapisan (agar fabrik-fabrik yang dipotong nanti bersaiz sama rata).

Pastikan setiap fabrik disusun dengan mengikut susunan. Fabrik kapas bercorak akan digunakan untuk bahagian atas alas tempat bermain anak kecil. Jadi ia perlulah mempunyai corak yang sesuai, cantik dan agak lembut agar anak kecil yang menggunakannya merasa selesa.

Sementara pada bahagian tengah, kapas batting akan digunakan bagi menyerap bebanan yang diletakkan pada bahagian atas alas selain memberikan keselesaan dan kelembutan.

Manakala fabrik kapas keras pula akan digunakan pada bahagian bawah alas tersebut. Fabrik keras dipilih bagi memastikan pada bahagian bawah alas tidak mudah rosak selain menjadikan alas tersebut kekal pada bentuknya (tidak mudah tergulung selepas ia dicuci nanti).

Gunakan kertas parchment sebagai stensil untuk melakar bentuk bulatan berukuran 34 inci. Bagi memudahkan anda, lipatkan kertas kepada empat bahagian (teknik circled folded quarters) dan lakarkan bentuk seakan-akan separuh huruf ‘C’. Setelah melakarkannya, gunting kertas tersebut dan sekarang anda mempunyai templat berbentuk bulat.

Kertas templat yang tersedia ini perlu diletakkan pada atas permukaan fabrik yang telah disusun tadi. Kemudian, pada bahagian hujung templat tersebut, pinkan jarum peniti pada beberapa tempat bagi memastikan templat tersebut sentiasa berada pada tempatnya ketika anda membuat lakaran berbentuk bulat menerusinya. Gunakan pen fabrik untuk melakar bentuk tersebut.

Setelah melakarkan bentuk bulatan, gunting fabrik tersebut sekali gus dengan berhati-hati dan memastikan jarum yang dipinkan kekal pada tempatnya. Selesai memotongnya, lipatkan templat tersebut kepada dua dan buatkan garisan lurus dengan hanya menggunakan jarum pada bahagian tengah fabrik bagi mengekalkan kesemua fabrik pada tempatnya semasa mengasingkan templat. Pin bahagian tepi bulatan juga menggunakan jarum peniti.

Jahitkan pada bahagian tengah bulatan dan diikuti garisan pada bahagian kanan dan kiri dengan jarak empat inci di antara satu dengan yang lain. Gunakan pembaris khas sebagai panduan untuk membuat garisan lurus.

Setelah kesemuanya dijahitkan, asingkan kesemua jarum peniti dan kemudian lipatkan dari arah bertentangan templat tersebut (seperti langkah sebelumnya) dan tandakan bahagian tengah bulatan. Kemudian jahitkan lagi dengan garisan lurus bermula pada bahagian tengah diikuti bahagian kiri dan kanan fabrik dengan jarak empat inci di antara satu dengan yang lain.

Langkah ini akan membentuk jahitan empat segi pada setiap pertemuan jahitan alas tersebut. Selain memberikan corak yang unik pada alas, ia juga menjadikan fabrik cotton batting kukuh pada kedudukannya.

Pada langkah terakhir, jahitkan Double Fold Bias Tape pada bahagian tepi alas merangkumi kesemua permukaan. Bagi memudahkan proses jahitan, pinkan Double Fold Bias Tape dengan jarum peniti dan asingkannya apabila bahagian tersebut telah dijahitkan. Sekarang alas tersebut bersedia untuk digunakan untuk anak kecil anda ataupun untuk diri anda sendiri!