Alasan Hamilton

Alasan Hamilton

BUDAPEST, Hungary, 27 Julai (Reuters) – Juara dunia Formula Satu (F1), Lewis Hamilton melakukan beberapa siri kesilapan ketika perlumbaan Grand Prix Hungary namun masih berupaya menjarakkan kedudukan selaku pendahulu kejuaraan.

Pelumba Mercedes AMG PETRONAS itu kini memiliki kelebihan 21 mata di depan rakan sepasukannya, Nico Rosberg dengan mengumpul 202 mata namun juara di Hungary, Sebastian Vettel kian menghampiri dengan 160 mata.

“Hari ini adalah salah satu persembahan terburuk pernah saya lakukan untuk tempoh yang amat, amat lama. Ia berada di semua tempat,” kata pelumba kelahiran Britain itu yang memulakan perlumbaan di petak utama sebelum menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam.

“Saya tidak tahu ia disebabkan kurang tumpuan atau perkara lain. Saya akan meneliti perkara ini. Saya benar-benar mengharungi masa yang kurang baik.”

Daripada 10 pusingan perlumbaan musim ini, Hamilton sudah memenangi lima termasuk perlumbaan GP Britain, awal bulan ini. Hadir di Litar Hungaroring dengan misi besar, Hamilton yang juga juara empat edisi di sini mendominasi sesi latihan bebas dan kelayakan sebelum dihimpit pelbagai masalah ketika perlumbaan.

Lewis Hamilton (depan) semasa bersaing dalam GP Hungary di Litar Hungaroring dekat Budapest semalam. – Reuters
Lewis Hamilton (depan) semasa bersaing dalam GP Hungary di Litar Hungaroring dekat Budapest semalam. – Reuters

Dipintas di awal perlumbaan disebabkan permulaan buruk, Hamilton terpaksa melengkapkan pusingan pertama di kedudukan ke-10.

Sekalipun kembali bangkit sehingga kembali ke kedudukan keempat, pelanggaran bersama pelumba Red Bull, Daniel Ricciardo selepas perlumbaan semula akibat kemalangan menyaksikannya dikenakan hukuman penalti.

“Saya berusaha dengan keras sehingga penghujung namun ada banyak halangan. Ada dua laluan yang berbeza di sana dan setiap kali saya memilih yang salah,” kata Hamilton.

Dalam pada itu, perlumbaan Rosberg juga dihimpit masalah apabila tayar jenteranya pancit dan terpaksa menamatkan perlumbaan di kedudukan kelapan.

ARTIKEL YANG SAMA