Alat bantu visual penting dalam pengajaran matematik

Alat bantu visual penting dalam pengajaran matematik

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 17 Mei – Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC) telah menganjurkan Bengkel Matematik bersempena perasmian pameran baru mengenai matematik di pusat tersebut, yang disertai oleh kira-kira 90 orang dalam kalangan pelajar Sarjana dan guru-guru.

Bengkel yang diadakan selama tiga hari baru-baru ini dengan melibatkan para pelajar dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) serta guru-guru dari sekolah rendah seluruh negara itu antara lain bertujuan meningkatkan cara mengajar yang sedia ada, mengenai matematik dan pemikiran logik.

Ia telah dikendalikan oleh pembekal pameran matematik berkenaan, Pusat Sains Questacon, Canberra dan pelatihnya, Pengarah Sains dan Pembelajaran Questacon, Dr. Stuart Kohlhagen.

Salah satu perkara yang diketengahkan pada bengkel itu ialah pentingnya mengajar dengan cara penggunaan alat bantu visual yang boleh meningkatkan semangat pelajar untuk berfikir dan boleh menjadikan pemahaman masalah atau topik tertentu dengan mudah.

Dalam bengkel tersebut Dr. Stuart Kohlhagen memberikan pendedahan kepada para peserta bagaimana alat bantuan visual untuk pembelajaran boleh menjadi semudah golongan pita pelekat dan beberapa helai kertas sahaja.

Antara peserta yang menyertai Bengkel Matematik kendalian OGDC, Seria.
Antara peserta yang menyertai Bengkel Matematik kendalian OGDC, Seria.

Para peserta turut berdepan masalah untuk memahami sistem kerja rangkaian pengkomputeran dengan menggabungkan algoritma, bagaimanapun dengan mudah ia telah dileraikan oleh Dr. Stuart Kohlhagen melalui penjelasannya bagaimana sistem itu berfungsi hanya dengan menjalankan aktiviti menarik dengan hanya memerlukan penggunaan beberapa pita pelekat dan kertas.

Sementara itu, salah seorang peserta, Lim Chai Hui dari UBD memberitahu, apa yang dapat dipelajarinya daripada Dr. Stuart Kohlhagen ialah penggabungan mengajar dengan sedikit berjenaka dengan para pelajar.

Menurut beliau, ia memang jarang dilakukan di sekolah-sekolah kerajaan atau swasta di sini, sambil menambah; “Saya percaya ia boleh dipelajari dan dalam masa yang sama juga akan memberikan keseronokan.”

Sesi kedua bengkel tersebut dijangka akan diadakan lagi pada penghujung bulan ini, dan pada sesi yang akan datang Pusat Questacon akan menghantar jurulatih yang lain dan topik matematik yang berbeza. Sesi itu nanti akan lebih mengetengahkan penyelesaian masalah matematik dengan menggunakan cara teka-teki.

OGDC juga memaklumkan kepada pengajar matematik bahawa mereka boleh menggunakan Pameran Mathamazing sebagai alat mengajar, dan mereka dialu-alukan untuk mengadakan kelas di pusat berkenaan, kerana hampir semua pameran di sana berguna untuk peralatan mengajar bagi beberapa topik matematik dalam aliran pelajaran masa kini.

Untuk maklumat lanjut, pihak sekolah boleh menghubungi OGDC di talian 3377200 atau melalui e-mel info@ogdcbrunei.com.

ARTIKEL YANG SAMA