Alat penghalang banjir paling panjang di dunia diuji

SPAKENBURG, Belanda – Alat penghalang banjir automatik berukuran 300 meter, yang terpanjang di dunia, telah dibina di pelabuhan penangkapan ikan bersejarah di Spakenburg di tengah Belanda, tambahan terbaru atau pendekatan inovatif negara itu bagi perlindungan banjir.

“Penghalang banjir ini merupakan contoh penyelesaian yang begitu baik yang kami buat khusus untuk melindungi kawasan yang terdedah, terutamanya kawasan bandar, satu tugasan yang tidak dapat dilakukan dengan bantuan ‘tradisional’,” kata Roeland Hillen, pengarah Program Perlindungan Banjir Belanda kepada wartawan yang hadir semasa ujian penghalang itu baru-baru ini.

Disaksikan oleh penduduk tempatan, pegawai air dan wartawan, penghalang itu keluar dari tanah dan naik pada ketinggian yang dirancang iaitu 80 sentimeter dalam masa kira-kira 20 minit apabila air di pam dari pelabuhan kecil. Apabila menyahaktifkan, penghalang itu menghilang ke dalam laluan pejalan kaki. Hanya bahagian atas keluli yang terbentang di sekitar pelabuhan itu dapat dilihat.

“Itulah yang berlaku apabila air di pelabuhan naik jika badai teruk melanda pelabuhan bersejarah ini,” jelas Hillen.

Tangki keluli di bawah penghalang, diperbuat daripada plak bahan ringan Kevlar dan keluli di bahagian atasnya, akan diisi secara semula jadi melalui paras air yang tinggi. Aliran masuk air secara automatik akan menolak penghalang itu naik dan keluar dari tempat ‘berehat’ di bawah tanah.

Alat penghalang banjir, satu inovasi dari Belanda untuk persediaan menghadapi iklim ekstrem. – Xinhua
Penduduk berjalan melintasi penghalang banjir di Spakenburg, Belanda. – Xinhua
Seorang wanita melangkah alat penghalang banjir di Spakenburg, Belanda. – Xinhua

Pembinaan seperti ini menelan kos sebanyak tujuh juta euro, tiga kali ganda daripada tambak tradisional. “Ini sangat berbaloi kerana penghalang ini tidak mengganggu ciri khas pelabuhan bersejarah ini. Ia memerlukan sedikit ruang dan menghormati persekitaran manusia iaitu sebagai bekas kampung nelayan, yang telah menjadi destinasi pelancongan,” kata ketua wanita Vallei en Veluwe, Tanja Klip-Martin, kawasan yang lebih luas di sekitar Spakenburg.

“Ia adalah kali pertama teknik ini digunakan pada penghalang air utama di Belanda dan dunia,” katanya. “Dan ini adalah salah satu contoh utama kebersamaan dalam hampir kesemua ‘bangunan komuniti’.”

Alat penghalang ini juga merupakan tambahan terbaru kepada pendekatan inovatif dalam perlindungan banjir di Belanda. Negara ini terbahagi dan dikelilingi dengan rangkaian tambak yang paling luas di dunia iaitu lebih dari pada 22,500 kilometer, dengan menggunakan teknologi terkini dan inovatif.

“Kita perlu menjangkakan apa yang akan berlaku pada masa depan. Peningkatan jumlah hujan lebat, tempoh kemarau kini menjadi fenomena biasa di kawasan kami yang padat dengan penduduk,” jelas Klip-Martin.

Sebenarnya, Belanda melabur lebih daripada 1 bilion euro setahun dalam keselamatan air, kemarau dan penyesuaian iklim, di mana 400 juta euro dilaburkan dalam perlindungan banjir. Program Delta kedua negara itu yang dilancarkan pada tahun 2008, merangkumi satu pelan untuk memperkukuhkan lagi 1,200 tambak dan permatang sehingga tahun 2050.

Dengan program Delta yang pertama dilancarkan selepas banjir 1953 yang membawa kerosakan dan mengakibatkan 1,836 tercedera, Belanda telah membina semula tambak dan gumuk pasirnya dengan cara pemikiran baru – hidup dengan air dan bukannya memerangi air.

“Delta kedua adalah pendekatan komprehensif untuk memenuhi cabaran perubahan iklim dan pengurusan air, memandang ke hadapan sehingga tahun 2100 untuk memastikan negara sentiasa selamat,” kata Hillen.

Berdasarkan senario yang berbeza, Belanda telah membangunkan “program pengurusan Delta adaptif,” tetapi program itu perlu diubah bergantung pada keadaan, kata Henk Ovink, utusan khas agensi perairan Belanda.

Program ini telah mempertimbangkan perjanjian Paris, perjanjian iklim global pertama dan perjanjian untuk menjaga suhu dunia abad ini di bawah 2 darjah Celsius. “Kesemua langkah (Belanda) sehingga tahun 2035 dan 2050 telah diterima pakai mengikut perjanjian Paris. Jika kita tidak memenuhi perjanjian Paris, bermakna kita perlu melihat senario yang berbeza,” kata Ovink.

Menurut Rijkswaterstaat, pihak berkuasa air kebangsaan Belanda, paras laut di Laut Utara, pantai Belanda, telah meningkat kira-kira 23 sentimeter dalam tempoh 125 tahun (1.9 milimeter setahun). Hampir sama dengan kenaikan paras laut global sebanyak 22 sentimeter dalam tempoh yang sama. Namun, sejak tahun 1993, paras laut global meningkat dengan lebih cepat daripada apa yang dianggarkan sebelumnya.

“Apabila program bermula lapan tahun lalu, kami mengambil kira bahawa paras laut akan naik hingga 85 sentimeter hingga tahun 2,100.

Tetapi kepantasan peningkatan paras laut dijangka laju daripada ramalan, sementara turunan hujan yang begitu lebat yang mana dijangka berlaku pada pertengahan abad ini, sudah berlaku pada masa ini,” jelas pengarah Program Perlindungan Banjir Belanda. – Xinhua