Alat ujian Ce...

Alat ujian Cervisafe bantu wanita kesan kanser serviks

KUALA LUMPUR, 14 Feb – Cervisafe, alat ujian persampelan sendiri, merupakan kaedah alternatif dalam memastikan golongan wanita dapat melakukan pemeriksaan awal kanser serviks dengan lebih mudah dan cepat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata dengan terhasilnya inovasi teknologi baharu Cervisafe ini, tiada lagi halangan untuk semua golongan wanita menjaga kesihatan serviks mereka.

Beliau berkata demikian semasa pelancaran program kesedaran kesihatan terhadap kanser serviks bersama alat persampelan sendiri, Cervisafe di Kompleks Penyayang Sri Aman, Sarawak baru-baru ini. Program itu turut menyasarkan persampelan ke atas 700 wanita di luar bandar yang layak sepanjang tempoh program itu dijalankan iaitu selama enam bulan.

Melalui program itu, wanita yang terpilih akan diberi taklimat tentang penggunaan alat ujian itu oleh LaDIY Healthcare Sdn Bhd dan ia adalah percuma.

Program berkenaan telah diadakan di Tamparuli, Sabah pada November tahun lepas dan di Balik Pulau, Pulau Pinang pada Disember lalu. Program di bawah Inovasi Sosial Mosti (MSI) itu dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) mendapat kerjasama daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), LaDIY Healthcare Sdn Bhd, Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser, UPM (CaRE) serta Lembaga Penduduk & Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Objektif MSI adalah untuk meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat melalui pelaksanaan projek, perkhidmatan, peningkatan kemahiran atau hasil inovasi menggunakan teknologi sedia ada yang boleh dilaksanakan secara mampan.

Di bawah program MSI, ia membantu untuk meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat seperti warga emas, golongan berpendapatan rendah dan wanita.

MTDC adalah agensi di bawah MOSTI yang dilantik untuk menjalankan lapan program MSI dan majlis menandatangani perjanjian usahasama di antara MTDC dan lapan pembekal teknologi yang terdiri daripada penerima Dana Pengkomersialan Hasil Penyelidikan dan Pembangunan (CRDF) dan universiti telah berlangsung pada 14 Nov 2016. – Bernama