Alaves kejutkan Barca, Real ke persada liga

Alaves kejutkan Barca, Real ke persada liga

MADRID, 11 Sept – Kelab baru dinaikkan daripada liga kedua, Alaves memberikan kejutan kepada penyandang juara La Liga, Barcelona kekalahan mengejut 2-1 di Nou Camp, awal pagi tadi ketika Cristiano Ronaldo pulang daripada kecederaan bagi membantu Real Madrid menewaskan Osasuna 5-2.

Kemenangan menyaksikan Real menduduki tangga teratas liga selepas memungut sembilan mata maksimum daripada tiga kemenangan.

Pada aksi di laman sendiri, tindakan Barcelona yang merehatkan Lionel Messi, Luis Suarez dan Andres Iniesta di bangku simpanan memakan diri apabila ketinggalan pada minit ke-39 menerusi jaringan Deyverson. Pemain Perancis, Jeremy Mathieu menyamakan kedudukan buat Barca pada minit ke-46 namun gol daripada Ibai Gomez pada minit ke-64 gagal disamakan tuan rumah.

Ronaldo yang tidak beraksi lebih dua bulan akibat kecederaan lutut meledak gol pada minit keenam pada penampilan semulanya ketika pengendali, Zinedine Zidane menyamai rekod kelab itu pada 1960-61 dengan 15 kemenangan berturut-turut.

Atletico Madrid dalam pada itu turut meraih tiga mata pertama musim ini selepas menewaskan Celta Vigo 4-0.

Beraksi lebih lewat berbanding Real dan Atletico, Barcelona turut terdesak menang namun lawan yang memaksa Atletico seri di Vicente Calderon pada hari pembukaan liga jelas bukan mudah ditumbangkan.

Aksi Barcelona menentang Alaves pada perlawanan tersebut. – AP
Aksi Barcelona menentang Alaves pada perlawanan tersebut. – AP
Cristiano Ronaldo yang berjaya menjaringkan gol pembukaan pada perlawanan di antara Real Madrid menentang Osasuna. – AP
Cristiano Ronaldo yang berjaya menjaringkan gol pembukaan pada perlawanan di antara Real Madrid menentang Osasuna. – AP

Pemain baru Barca, Paco Alcacer hampir gagal untuk mendapat bola sepanjang babak pertama dan satu-satunya peluangnya tersasar jauh ketika Ivan Rakitic juga mensia-siakan dua peluang terhidang.

Neymar satu-satunya trio MSN (Messi-Suarez-Neymar) yang disenarai dalam kesebelasan utama dan sekali pun menamatkan saingan dengan rentetan peluang, ia gagal diterjemah menjadi jaringan.

“Saya bertanggungjawab atas apa yang berlaku,” kata Luis Enrique kepada wartawan sejurus perlawanan. “Mudah untuk menilai apa yang berlaku dan kami akan mengambil pengajaran.

“Bermula daripada perlawanan ini, kami akan mengambil segala pengajaran daripadanya. Kami tidak menghasilkan peluang-peluang yang kami biasa buat dan (Alaves) amat tepat. Ia adalah keputusan yang buru bagi kami namun kami perlu mengucapkan tahniah kepada lawan.”

Real dalam pada itu mempunyai rentetan peluang dan mendahului 5-0 sebelum Osasuna cuba bangkit pada babak kedua. Selepas Ronaldo membuka tirai jaringan, Real menambah gol pada minit ke-40 menerusi Danilo diikuti Sergio Ramos pada masa kecederaan.

Pepe meletakkan Real selesa mendahului 4-0 pada minit ke-56 diikuti jaringan Luka Modric (minit 62) sebelum Osasuna membalas dengan jaringan Oriol Riera (minit 64) dan David García pada minit ke-78. – AFP