ALAWMM IX berlangsung di Bali

ALAWMM IX berlangsung di Bali

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Okt – Mesyuarat Menteri-menteri Undang-undang ASEAN (ALAWMM) IX telah berlangsung di Bali, Indonesia, kelmarin (22 Oktober), yang dihadiri oleh menteri undang-undang negara anggota ASEAN.

Mewakili Negara Brunei Darussalam ke mesyuarat itu ialah Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati binti POKSDSP Haji Mohd Salleh, para pegawai dari Pejabat Peguam Negara serta Duta Besar Istimewa dan Mutlak Brunei Darussalam ke Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Yussof bin Haji Abdul Rahman.

Mesyuarat berkenaan telah dirasmikan oleh Naib Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Muhammad JusufKalla.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, semasa sesi plenari mesyuarat itu, para menteri telah mengambil maklum mengenai perkembangan kerja-kerjanya sejak kali terakhir mereka bertemu di Phnom Penh, Kemboja pada 2011.

Para Menteri-menteri ASEAN yang menyertai ALAWMM IX di Bali, Indonesia.
Para Menteri-menteri ASEAN yang menyertai ALAWMM IX di Bali, Indonesia.

Ini terutamanya mengenai kerja yang telah dilaksanakan oleh Mesyuarat Pegawai Undang-undang Kanan ASEAN (ASLOM) dan Kumpulan-kumpulan Kerja mengenai Modus Penelitian bagi Pengharmonian Undang-undang Perdagangan ASEAN, dan Mengukuhkan Bantuan Perundangan bagi Perkara-perkara Sivil dan Komersial dalam kalangan anggota ASEAN dan Kumpulan Kerja mengenai Model Perjanjian Penyerahan Balik ASEAN.

Mengenai isu-isu berkaitan dengan jenayah rentas sempadan, sidang bersetuju untuk menanganinya dengan meneruskan usahanya menguatkuasakan satu rangka kerja undang-undang bagi meningkatkan kerjasama terhadap isu penyerahan balik, serta menerusi usaha-usaha bersama oleh negara anggota ASEAN dalam memberikan bantuan perundangan kepada satu sama lain dengan pelaksanaan Perjanjian Bantuan Perundangan Bersama.