Albaik rancang wujud hab logistik di M’sia

Albaik rancang wujud hab logistik di M’sia

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) – Rantaian makanan segera Arab Saudi, Albaik Food Systems Co Ltd berminat untuk melabur RM100 juta bagi mendirikan hab industri dan logistik di Malaysia, sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rami Abu Ghazaleh berkata, langkah penting sebelum memasuki sebarang pasaran adalah untuk memastikan syarikat memilih lokasi yang betul untuk hab industri dan logistik. “DWA Advisory Sdn Bhd akan memberi nasihat kepada kami mengenai lokasi terbaik untuk pelaburan itu.

“Kami perlukan pasaran dengan infrastruktur yang baik serta kerajaan yang menyokong perniagaan…Malaysia berada di tempat teratas senarai kami,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sijil pelantikan kepada DWA Advisory sebagai pengurus projeknya di sini, hari ini.

Majlis itu disaksikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Berikutan pelantikan itu, DWA Advisory akan menjalankan kajian kemungkinan mengenai pengembangan Albaik Food Systems di pasaran ASEAN, yang dijangka siap dalam tempoh enam bulan.

Rami berkata, hab industri dan logistik itu akan menjadi tulang belakang operasi syarikatnya di rantau ini, bagi memastikan pengeluaran makanan berkualiti tinggi serta mengekalkan daya saing.

Ketua Urusan DWA Advisory, Datuk Wan Asmadi Wan Ahmad berkata, sebagai pengurus projek, ia juga akan membantu pengambilan tenaga kerja, mendapatkan kelulusan kawal selia yang relevan serta mendirikan perniagaan sebagai potensi untuk berkembang ke Malaysia.

Menurutnya, kemudahan hab itu bukan sahaja akan diguna untuk menyokong pengembangan Albaik Food Systems di rantau ini, tetapi juga kemungkinan mengeksportnya semula ke Arab Saudi.

Sementara itu, CEO Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, Datuk Dzulkifli Mahmud yang turut hadir di majlis berkenaan berkata, pelan pengembangan Albaik Food Systems akan menjadi pemangkin bagi meningkatkan peluang perdagangan dua hala dan pelaburan di antara Malaysia dan Arab Saudi.

ARTIKEL YANG SAMA