Albania mampu tewaskan Perancis

Albania mampu tewaskan Perancis

UEFA-Euro-2016-Logo

MARSEILLE, 15 Jun (AFP) – Pengurus pasukan Albania, Gianni De Biasi merasakan skuadnya yang dianggap sebagai pasukan bukan pilihan, mampu menjaringkan gol ketika menentang Perancis di sini, awal pagi esok untuk mengembalikan perjalanan Euro 2016 mereka pada landasan yang betul.

Selepas tewas kepada Switzerland dalam aksi pembukaan Kumpulan A, Albania perlu sekurang-kurangnya mengelakkan daripada tewas untuk menghidupkan sisa-sisa perjuangan untuk ke peringkat kalah mati.

“Kami bermain baik menentang Switzerland, membuat percubaan bahaya sebanyak tiga kali dan banyak mencipta peluang,” kata pengendali berusia 59 tahun dari Itali itu kepada media di Stade Velodrome di Marseille.

“Statistik menunjukkan bahawa kami mampu menembusi gawang lawan dan ia boleh berlaku dalam tempoh 24 jam lagi,” katanya.

Walaupun wujud kemungkinan Didier Deschamps bakal membuat penggiliran pemain, namun persembahan Perancis dijangka terus meningkat selepas bergelut ketika menewaskan Romania 2-1 hasil gol kemenangan lewat permainan oleh Dimitri Payet.

De Biasi mengakui betapa terdapat peluang pasukannya akan menemui ‘Les Bleus’ yang lebih bertenaga, selepas bermain di bawah tekanan ketika aksi pembukaan di Paris.

Penampilan pertama Albania bermula dengan langkah kiri apabila kapten pasukan Lorik Cana yang dianggap sebagai nadi utama pasukan oleh De Biasi, dilayangkan kad merah pertama untuk Euro 2016 ketika tewas 1-0 di tangan Switzerland di Lens, Sabtu lalu.

ARTIKEL YANG SAMA