Albania musnah kanabis bernilai 7 bilion euro

Albania musnah kanabis bernilai 7 bilion euro

TIRANA, 14 Sept (AFP) – Polis Albania mengatakan hari ini mereka telah memusnahkan lebih 650,000 pokok kanabis yang bernilai tujuh bilion euro ($7.9 bilion) sejak awal tahun ini.

“Sejak Januari polis telah memusnahkan 650,333 pokok kanabis dan menangkap seramai 279 pesalah,” kata seorang jurucakap polis kepada AFP.

Pencarian bagi 90 suspek lagi masih diteruskan, tambah jurucakap Ardi Bida.

Polis turut dibantu rakan sejawatan dari Itali yang memberikan maklumat serta helikopter bagi beberapa operasi, katanya.

Menurut mereka lagi, penanam pokok berkenaan cuba untuk menyembunyikan tanaman tersebut di kawasan terpencil di mukim Balkan yang bergunung-ganang, yang mana akses menggunakan jalan sangat sukar.

“Disebabkan operasi berskala besar yang dijalankan tahun lepas, kami telah mendapati penurunan dalam bilangan kawasan besar tempat pokok berkenaan ditanam,” kata ketua polis, Haki Cako.

“Kami menyedari kemunculan plot kecil untuk menanam dadah itu di rantau bergunung tidak berpenghuni adalah untuk membuat tugas kami lebih sukar.”

Pada Jun 2014, polis telah mengetuai operasi skala besar di lazarat, sebuah perkampungan di selatan Albania yang dikenali sebagai ‘kerajaan kanabis’ bagi pengeluaran dadah skala industri. Salah seorang pegawai polis telah terbunuh dalam kejadian tembak menembak semasa serbuan itu.

Menurut laporan polis Itali, sehingga operasi itu kampung itu telah menghasilkan kira-kira 900 tan kanabis setahun, yang bernilai sekitar 4.5 bilion euro(AS$5 bilion) – bersamaan dengan hampir satu pertiga daripada keluaran dalam negara kasar Albania.