Alcacer tinggalkan Valencia sertai Barca

Alcacer tinggalkan Valencia sertai Barca

BARCELONA, 31 Ogos – Pemain kebangsaan Sepanyol, Paco Alcacer menyertai Barcelona dari Valencia dengan yuran perpindahan 30 juta euro dan kontrak selama lima tahun, umum gergasi Catalan itu, hari ini.

“Pemain Valencia, Paco Alcacer kini adalah pemain Barcelona dan sudah menandatangani kontrak lima tahun,” kata Barcelona dalam satu kenyataan.

Yuran perpindahan pemain berusia 23 tahun itu adalah 26 juta pound dengan dua juta lagi sebagai tambahan.

Dipercayai, perjanjian itu turut membabitkan penyerang Barca, Munir-El-Haddadi yang dikaitkan perpindahan ke Valencia menerusi pinjaman setahun penuh dengan klausa pembelian 12 juta euro di penghujung musim.

El-Haddadi, 20 meledak lapan gol dalam 25 penampilan bersama gergasi Sepanyol itu, musim lalu.

Alcacer, 23 melengkapkan jentera serangan Barcelona namun dia dijangka hanya akan digunakan sebagai pelan kecemasan kepada trio Lionel Messi-Luis Suarez-Neymar.

Dia menjaringkan 13 gol dalam 34 penampilan bersama Valencia tahun lalu dan turut melakukan enam gerakan ke arah gol.

Antara kejayaan yang diraih Alcacer ialah muncul pemenang kejohanan bawah umur Euro bersama skuad bawah 19 tahun Sepanyol pada 2011 dan 2012.

Bersama La Roja, Alcacer sudah meledak enam gol dalam 13 penampilan dan muncul penjaring gol paling prolifik Sepanyol pada kempen kelayakan dengan menjaringkan lima gol. – AFP