Aleppo dibedil lagi, ragut 25 jiwa

Aleppo dibedil lagi, ragut 25 jiwa

ALEPPO, Syria, 27 April – Serangan udara dan bedilan ke atas bandar kedua Syria, Aleppo dan sebuah bandar ke barat meragut 25 jiwa orang awam semalam, ketika peningkatan dalam keganasan menguji gencatan senjata yang terjejas.

Ketua PBB, Ban Ki-moon berkata beliau “merasa bimbang” dengan pertempuran tersebut dan menggesa kedua belah pihak untuk mematuhi gencatan senjata berusia dua bulan itu dan perbincangan damai di Geneva. “Menamatkan permusuhan perlu diteruskan, jika tidak ia sukar bagi pekerja kemanusiaan untuk dihantar,’ Ban memberitahu para wartawan di Vienna.

Sekurang–kurangnya dua orang awam terbunuh dalam serangan roket pemberontak ke atas kawasan-kawasan yang dikawal kerajaan di barat bandar Aleppo petang semalam, kata Pemerhati Syria bagi Hak Asasi Kemanusiaan. Di bahagian timur yang dikuasai oleh pemberontak, serangan udara dan bedilan berlaku ‘seperti hujan”, seorang penduduk memberitahu AFP.

Lima belas orang awam terbunuh dalam serangan udara ke atas beberapa daerah yang ditawan pemberontak, menurut sukarelawan pertahanan awam yang dikenali sebagai White Helmets. Sementara tiga lagi orang awam – dua wanita dan seorang anak damit – terbunuh dalam bedilan arteleri kerajaan ke atas satu lagi kejiranan di bahagian timur, kata mereka.

“Pesawat membedil pasar-pasar, kawasan kediaman….kami keletihan, kami tidak dapat bangun,” kata seorang pekerja pertahanan awam. Lima dari mereka terbunuh apabila ibu pejabat White Helmet di bandar Al-Atarib, yang dikawal oleh pemberontak Islam, terkena bedilan dari serangan udara sepanjang malam, kata kumpulan itu dalam Twitter.

Warga Syria membantu seorang pemuda yang cedera berikutan serangan udara ke atas pemberontak Fardous yang berlaku di kawasan kejiranan bandar utara Syria, Aleppo, pada Selasa lalu. – AFP
Warga Syria membantu seorang pemuda yang cedera berikutan serangan udara ke atas pemberontak Fardous yang berlaku di kawasan kejiranan bandar utara Syria, Aleppo, pada Selasa lalu. – AFP

Ia tidak segera diketahui sama ada serangan ke atas Al-Atarib, 35 kilometer (20 batu) dari Aleppo, dilakukan oleh tentera udara Presiden Bashar al-Assad atau sekutunya Rusia. Sebuah ambulans dan kereta bomba, rosak, diletakkan di ibu pejabat yang dibedil, dikelilingi oleh serpihan dan rangka besi tajam.

Seorang pekerja pertahanan awam di bandar Aleppo berkata dia dan rakan sejawatannya takut ibu pejabat itu juga dijadikan sasaran. Pertempuran meningkat di wilayah Aleppo, yang menyilang dengan laluan bekalan strategic bagi semua pihak Syria yang berbalah.

Pernah menjadi pusat komersial, Aleppo dipisahkan diantara bahagian timur yang dikuasai pemberontak dan tentera kerajaan di barat sejak 2012. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA