Aleppo diserang lagi, 26 maut

Aleppo diserang lagi, 26 maut

BEIRUT, 26 Sept – Sekurang-kurangnya 26 penduduk awam maut dalam serangan udara terbaru tentera kerajaan di Aleppo, kata aktivis Syria kelmarin, ketika Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat tergempar mengenai keganasan di negara itu.

Bagaimanapun, ia gagal mengambil sebarang tindakan kerana perbalahan mendalam antara Rusia dan kuasa Barat.

Amerika Syarikat, Britain dan Perancis, yang mendesak pertemuan diadakan, menyalahkan Moscow kerana menyokong serangan Syria yang disifatkan wakil khas PBB, Staffan de Mistura, sebagai antara terburuk sepanjang lima tahun setengah peperangan itu.

Apabila Duta Syria ke PBB, Bashar Ja’afari, diminta bercakap dalam majlis berkenaan, duta ketiga-tiga negara Barat itu keluar tanda bantahan.

Mereka menuntut serangan di Aleppo dihentikan dan tindakan segera majlis, dan tindakan keluar dewan menunjukkan kemarahan dan kekecewaan bukan hanya kepada Damsyik tetapi juga kepada Russia kerana menyokong kempen ketenteraan Presiden Bashar al-Assad ketika bercakap mengenai menghidupkan semula gencatan senjata.

“Apa yang Rusia taja dan lakukan bukan menangani keganasan, ia tidak bertamadun,” kata Duta Amerika, Samantha Power. “Memang dahsyat apa yang dilakukan di timur Aleppo.”

Anggota penyelamat Syria dan penduduk setempat membawa mayat mangsa berikutan serangan udara di daerah Salaheddin yang dikuasai pemberontak di Aleppo, kelmarin. – AFP
Anggota penyelamat Syria dan penduduk setempat membawa mayat mangsa berikutan serangan udara di daerah Salaheddin yang dikuasai pemberontak di Aleppo, kelmarin. – AFP

Ketika serangan kerajaan memasuki hari keempat kelmarin, pekerja kesihatan dan pegawai tempatan melaporkan serangan udara di kawasan kejiranan seluruh daerah timur Aleppo yang dikuasai pemisah.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) yang beribu pejabat di Britain melaporkan 26 penduduk awam terkorban menjelang 7:30 malam waktu tempatan dan menjangkakan ia akan meningkat. Jurucakap Pertahanan Sivil Syria, Ibrahim Alhaj, memberikan angka lebih tinggi, berkata hospital dan pasukan penyelamat mencatatkan kematian 43 orang setakat ini.

Badan pemerhati itu, mana bergantung kepada rangkaian di dalam Syria, berkata pada awal hari ini bahawa seramai 213 orang awam telah terbunuh oleh serangan udara dan serangan di kawasan pembangkang di Aleppo dan sekitarnya sejak gencatan senjata yang ditaja AS-Rusia roboh pada petang Isnin lalu.

Hospital dipenuhi dengan mangsa dan pekerja perubatan menjangkakan ramai mangsa yang cedera akan mati akibat kekurangan rawatan, menurut Mohammad Zein Khandaqani, ahli Majlis Perubatan, yang menyelia hal ehwal perubatan di kawasan pembangkang di bandar itu. – AP