Alex Yoong juara Piala LMS Audi R8 2015

Alex Yoong juara Piala LMS Audi R8 2015

SHANGHAI, 2 Nov (Bernama) – Bekas pemandu Formula One negara, Alex Yoong yang berlumba mewakili Audi TEDA Racing Team semalam dimahkotakan juara Piala LMS Audi R8 hari ini di sini dan mencipta sejarah sebagai pemandu pertama untuk menjadi juara berturut-turut dalam siri perlumbaan sprint antarabangsa itu.

Yoong yang menjuarai kejohanan itu tahun lepas, mengumpul 161 mata keseluruhan kejohanan kali ini dan mempertahankan mahkotanya hanya dengan kelebihan satu mata pada siri perlumbaan tahun ini di hadapan pelumba dari China Cheng Congfu dari FAW-VW Audi Racing Team yang mengutip 160 mata.

Musim 2015 merupakan musim perlumbaan yang sengit dalam sejarah empat tahun piala itu dan biarpun Cheng menamatkan perlumbaan di tempat ketiga pada pusingan ke-13 dan terakhir perlumbaan hari ini tetapi masih tidak mencukupi untuk memberikan mahkota kejohanan sulung buatnya sementara pemandu dari Hong Kong, Marchy Lee yang juga bekas juara 2012, mengakhiri perlumbaan di tempat ketiga keseluruhan.

Walaupun perlumbaan ini disertai enam pelumba yang datang ke Shanghai, hanya dua pelumba kekal bertarung untuk menjadi juara, iaitu Yoong yang menamatkan perlumbaan pada tempat pertama dan Cheng di tempat kedua pada pusingan ke-12.

Yoong bertarung di litar dengan kelebihan lapan mata dengan hanya 25 mata ditawarkan.

Pada pusingan ke-13, Cheng menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dan Yoong di tempat keenam tetapi tempat keenam sudah mencukupi untuknya menjadi johan keseluruhan perlumbaan.

Perlumbaan pusingan ke-13 yang dramatik itu dimenangi oleh Aditya Patel, pelumba di petak utama dari Team Audi R8 LMS Cup di hadapan Lee dan Cheng. Berikutan kemenangan sulungnya pada kali ini, Patel menduduki tangga keempat keseluruhan kejuaraan.

Sementara itu Yoong berkata setiap tahun kejohanan ini menjadi bertambah sengit dan pujian harus diberikan kepada penganjur Piala LMS Audi R8 yang menambahbaik peraturan supaya perlumbaan menjadi adil tetapi sengit dan mengujakan.

“Saya kehilangan satu kejuaraan dengan perbezaan jurang mata yang begitu rapat dua tahun lepas, menang pada tahun lepas dan menang lagi pada tahun ini dengan perbezaan satu mata – setiap tahun adalah menyeronokkan dan ia adalah satu keistimewaan untuk menjadi sebahagian daripada kejohanan ini. Pusingan ke-13 sungguh mendebarkan.

ARTIKEL YANG SAMA