Alexandre Pato sertai Chelsea

Alexandre Pato sertai Chelsea

LONDON, 28 Jan – Alexandre Pato yang dalam proses akhir melengkapkan perjanjian secara pinjaman ke Chelsea buat kali pertama bercakap mengenai perpindahannya itu, sambil mengesahkan ‘Chelsea adalah rumah baharu saya.’

Pato akan menyertai skuad Guus Hiddink sehingga akhir musim ini dengan pilihan untuk membeli secara tetap STG7 juta jika berjaya menampilkan prestasi terbaik dalam kepulangannya ke Eropah.

Bekas penyerang AC Milan itu tiba di Heathrow pada tengah hari semalam selepas mengharungi perjalanan panjang selama 11 jam setengah dari Sao Paulo dan berkata, ia sebagai impian menjadi kenyataan.

Ditanya bagaimana perasaannya, Pato berkata: “Sangat-sangat gembira, saya berada di tempat impian saya. Chelsea adalah rumah baharu saya. Terima kasih Chelsea untuk sokongan ini. Terima kasih kepada peminat saya.

“Saya tidak tahu apa yang hendak diperkatakan kerana saya terlalu gembira.”

Bercakap kepada Sky Sports dalam Bahasa Inggeris, tambahnya: “Saya begitu gugup. Saya mahu berkenalan dengan rakan dan pemain baharu dalam pasukan. Saya sangat gembira untuk beraksi buat Chelsea.”

Pato menggayakan topi dan kardigan biru bersama kemeja putih tatkala dilihat tiba di Terminal 3 Heathrow.

Beliau akan memberi cabaran getir buat penyerang utama Diego Costa sambil boleh beraksi di posisi sayap, posisi yang membantunya kembali menemui sentuhan terbaik dengan Sao Paulo.

Selepas mencetak 26 gol ketika dipinjam kepada Sao Paulo tahun lalu, Pato sudah bersedia untuk menguji kemampuannya di England yang disifatkannya sebagai liga nombor satu dunia. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA