Alfredo bayar ikat jamin AS$1 juta

Alfredo bayar ikat jamin AS$1 juta

NEW YORK, 3 Feb – Bekas naib presiden Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Alfredo Hawit dari Honduras didakwa atas kesalahan skandal rasuah badan bola sepak dunia itu, ditempatkan sebagai tahanan rumah di Amerika Syarikat selepas membayar ikat jamin sebanyak AS$1 juta

Hawit yang berumur 64 tahun di ekstradisi ke Amerika Syarikat dari Switzerland pada bulan lalu susulan penahanannya pada 3 Disember.

Dia menafikan 12 tuduhan terhadapnya, termasuklah konspirasi kegiatan haram, penipuan duit dalam talian dan pengubahan wang haram.

Hawit dikenakan ikat jamin AS$1 juta di mahkamah Brooklyn, yang mana dia membayar AS$50,000 secara tunai.

Selebihnya dijamin menggunakan hartanah yang dimilikinya. Pada bulan lalu, hakim bersetuju untuk melepaskan Hawit sebagai tahanan rumah, tetapi dia kekal di penjara sehinggalah membayar ikat jamin itu.

Pendakwa raya menggambarkan Hawit sebagai berisiko dan mendesak ikat jamin kepada AS$4 juta-dijamin sama ada AS$500,000 tunai atau hartanah di Amerika Syarikat.

Hawit yang digantung sebagai ketua Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Caribean (CONCACAF), adalah salah seorang daripada 39 pegawai dan eksekutif pemasaran yang didakwa meminta dan menerima puluhan juta dolar rasuah dan sogokan.

Hawit adalah pegawai FIFA kelima yang di ekstradisi Switzerland ke Amerika Syarikat berhubung skandal rasuah jutaan dolar yang melanda bola sepak dunia itu sejak Mei tahun lalu. – AFP