Ali disemadikan di Cave Hill

Ali disemadikan di Cave Hill

LOUISVILLE, 10 Jun – Jenazah Muhammad Ali akan disemadikan pada hari ini, kemuncak kepada perpisahan dua hari untuk legenda tinju dan wira hak asasi awam yang telah memukau orang ramai di seluruh dunia.

Beribu-ribu orang dari jauh dan dekat dijangka membarisi jalan raya di kampung halaman Ali di Louisville di selatan negeri AS Kentucky untuk mengucapkan selamat tinggal kepada juara dunia heavyweight tiga kali yang meninggal dunia minggu lalu pada usia 74 tahun selepas bergelut dengan penyakit Parkinson berdekad-dekad lamanya.

Bermula pada pukul 9 pagi, perarakan mengusung jenazah akan berakhir di bandar yang mempunyai 600,000 penduduk di mana Ali dilahirkan pada masa pemisahan kaum.

Ia akan melalui tempat yang penting kepada “Petinju Paling Hebat”: rumah zaman kanak-kanaknya, Pusat Ali, Pusat untuk Warisan Afrika Amerika – yang menumpu pada kehidupan penduduk kulit hitam di Kentucky – dan, sudah tentunya, di sepanjang Muhammad Ali Boulevard sebelum tiba di Tanah Perkuburan Cave Hill untuk pengebumian persendirian.

Pelakon Will Smith, yang memenangi pencalonan Oscar untuk wataknya sebagai Ali di layar perak – dan bekas juara heavyweight Lennox Ali akan menjadi pengusung jenazah.

Keranda yang membawa jenazah legenda tinju Muhammad Ali sedang dibawa ke Freedom Hall, Louisville, Kentucky untuk disembahyangkan kelmarin sebelum disemadikan di Cave Hill. – AFP
Keranda yang membawa jenazah legenda tinju Muhammad Ali sedang dibawa ke Freedom Hall, Louisville, Kentucky untuk disembahyangkan kelmarin sebelum disemadikan di Cave Hill. – AFP

Seorang individu tanpa nama telah berjanji akan menutup laluan menuju ke kubur dengan kelopak bunga ros merah.

Pada tengah hari hari ini, Ali akan diberikan penghormatan pada upacara peringatan agama di sebuah arena sukan besar yang akan mengumpulkan pemimpin negara, orang kenamaan dan peminat.

Kira-kira 15,500 orang dijangka hadir, dengan tiket percuma diberikan dalam setengah jam dan pasaran gelap untuk tiket muncul di Internet.

Bekas presiden Bill Clinton dan pelawak Billy Cystal akan membacakan penghormatan kepada Ali, sementara Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan juga akan hadir.

Barack Obama tidak akan hadir pada upacara pengebumian lelaki yang dipanggilnya “wira peribadi” kerana ia diadakan serentak dengan upacara penyampaian ijazah anak perempuannya Malia. – AFP