Alibaba bekerjasama dengan lebih 25 Bank

Alibaba bekerjasama dengan lebih 25 Bank

BEIJING, 13 Jan (Bernama) – Platform e-dagang China, Alibaba.com bekerjasama dengan lebih 25 institusi kewangan dan firma pelaporan kredit di seluruh dunia bagi menyediakan perkhidmatan pembiayaan inovatif.

Perkhidmatan itu boleh membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terlibat dalam perdagangan rentas sempadan menangani cabaran pembiayaan.

Alibaba.com merupakan platform terkemuka bagi perniagaan borong dan sebahagian daripada Alibaba Group. Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata kerjasama antara Alibaba.com dan institusi kewangan telah menghasilkan satu siri perkhidmatan pinjaman inovatif bagi PKS.

Ia berkata rakan kongsinya di tanah besar China termasuk MYBank, bank Internet China yang disokong oleh sekutu Alibaba, Ant Financial Services Group serta Ping An Insurance, Bank of China, China Merchants Bank, China Construction Bank dan Bank of Shanghai.

Alibaba.com juga bekerjasama dengan firma pelaporan kredit global untuk menyediakan maklumat dan penarafan yang boleh dipercayai kepada pembekal dan pembeli, katanya.

pg18_160114_b

Sebagai tambahan, ia berkata pembeli luar negara juga akan mempunyai lebih keyakinan apabila bekerjasama dengan pembekal baharu kerana mereka dapat menyemak profil kredit pembekal China melalui perkhidmatan pelaporan kredit baharu iaitu credit.alibaba.com.

Perkhidmatan yang dijadual dilancarkan pada tahun ini akan menyediakan skor kredit korporat dan penarafan pembekal China yang menyertai program itu. Perkhidmatan baharu itu yang bersumberkan maklumat firma penarafan dan data Alibaba.com serta rekod awam lain, bertujuan menyediakan maklumat berkualiti yang dapat dijadikan rujukan bagi perkhidmatan pinjaman dalam talian oleh rakan kongsi pembiayaan kepada pembekal PKS China.

Presiden Alibaba.com, Sophie Wu berkata dengan membangunkan profil kredit PKS China berdasarkan data berkaitan perniagaan, perkhidmatan pelaporan kredit Alibaba.com dapat membantu pembeli luar negara mengenal pasti rakan kongsi niaga yang boleh dipercayai dan menyediakan akses pembiayaan inovatif untuk pembekal China.