Alibaba beli akhbar South China Morning Post

Alibaba beli akhbar South China Morning Post

BEIJING, 13 Dis (Reuters/Agensi) – Syarikat Alibaba Group Holding Ltd. bersetuju untuk membeli akhbar berbahasa Inggeris kebanggaan Hong Kong, South China Morning Post (SCMP) dalam pengambilalihan paling sensitif dari segi politik oleh syarikat gergasi e-dagang itu setakat ini.

Alibaba dan syarikat SCMP Group Ltd. mengumumkan kelmarin mengenai pembelian syarikat akhbar berusia 112 tahun itu yang beribu pejabat di bandar Hangzhou.

Meskipun terma pembelian itu tidak didedahkan, namun menurut data oleh syarikat Thomson, nilai pasaran bagi SCMP kini ialah AS$392 juta.

Pembelian oleh Alibaba yang diasaskan oleh Jack Ma itu mungkin menimbulkan kebimbangan di Hong Kong kerana akhbar itu mempunyai kedudukan penting dalam kalangan golongan elit yang bertutur dalam bahasa Inggeris dan masih menguasai ekonomi bekas tanah jajahan British.

Laman web South China Morning Post dan imej Jack Ma, pengasas dan pengerusi eksekutif Syarikat Ali baba Group Holding Ltd, yang dipaparkan dalam sebuah komputer di Hong Kong, China pada gambar fail ilustrasi bertarikh 23 November. – Reuters
Laman web South China Morning Post dan imej Jack Ma, pengasas dan pengerusi eksekutif Syarikat Ali baba Group Holding Ltd, yang dipaparkan dalam sebuah komputer di Hong Kong, China pada gambar fail ilustrasi bertarikh 23 November. – Reuters

Meskipun akhbar-akhbar berbahasa Cina mungkin lebih berpengaruh daripada akhbar terbabit, namun perubahan dalam editorial SCMP dilihat boleh mengancam kebebasan akhbar di bawah pemerintahan China.

Alibaba telah meningkatkan pelaburan dalam syarikat media akhir-akhir ini termasuk membayar AS$194 juta untuk pegangan yang tidak didedahkan dalam syarikat akhbar perniagaan, China Business News pada Jun lalu.

“SCMP berstatus ikonik di rantau ini dengan reputasi yang kukuh di peringkat antarabangsa untuk kualiti dan kredibiliti kewartawanannya sejak dahulu lagi,” kata Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan Alibaba, Joe Tsai melalui surat kepada pembaca SCMP.

ARTIKEL YANG SAMA