Alibaba beli SCMP AS$266 juta

Alibaba beli SCMP AS$266 juta

HONG KONG, 14 Dis (AFP) – Syarikat Internet China Alibaba akan membayar AS$266 juta untuk South China Morning Post (SCMP) di Hong Kong, kata akhbar hari ini, jauh lebih tinggi daripada anggaran penganalisis dalam satu perjanjian yang telah mencetuskan kebimbangan akhbar akan kehilangan suara bebasnya.

Perniagaan telah dinilai pada separuh daripada jumlah tersebut, dan beberapa pemerhati berkata harga yang tinggi itu mencerminkan hasrat Alibaba untuk mengawal media di wilayah separa autonomi itu.

Perjanjian dicapai tatkala kebimbangan mengenai kebebasan berakhbar meningkat selepas serangan ke atas wartawan, laporan tekanan ke atas kakitangan editorial daripada pihak berkuasa dan pertambahan penapisan sendiri.

Alibaba “telah bersetuju untuk membeli perniagaan media Kumpulan SCMP dengan wang tunai HK$2,060,600,000”, kata akhbar dalam satu kenyataan kepada Bursa Saham Hong Kong.

Kumpulan itu juga memiliki majalah edisi Hong Kong Esquire, Elle, Cosmopolitan dan Harper’s Bazaar.

Pemandangan menyeluruh logo SCMP di Hong Kong pada 12 Disember, berikutan pemilikannya oleh syarikat gergasi Internet China, Alibaba. – AFP
Pemandangan menyeluruh logo SCMP di Hong Kong pada 12 Disember, berikutan pemilikannya oleh syarikat gergasi Internet China, Alibaba. – AFP

Dalam sepucuk surat kepada pembaca akhbar ekoran pengumuman penjualan itu, naib pengerusi eksekutif Joe Tsai berjanji SCMP akan bersifat “objektif, tepat dan adil”.

Bagaimanapun, dalam satu temu bual di laman web akhbar, Tsai menuduh media Barat sebagai bersikap berat sebelah terhadap China, berkata Alibaba akan “melihat dari perspektif berlainan.”

Francis Lun, ketua eksekutif firma pembrokeran Hong Kong GEO Securities, berkata harga tinggi yang diberikan kepada pemilik akhbar Malaysia, jutawan Robert Kuok yang membeli saham majoriti pada 1993, mencerminkan motivasi politik.

“Jika tujuan anda adalah berusaha mengawal media tempatan, ia mempunyai nilainya. Faedah ekonomi sebenar adlah diragui,” beritahu Lun kepada AFP.

ARTIKEL YANG SAMA