Alibaba nafi tuduhan jual produk palsu

Alibaba nafi tuduhan jual produk palsu

BEIJING, 18 Mei – Syarikat e-dagang utama China, Alibaba Group Holding Ltd menafikan dakwaan menjual produk palsu di platform membeli belah dalam taliannya dan menyatakan tuduhan itu sebagai tidak berasas.

Alibaba disaman oleh Kering SA, kumpulan jenama mewah termasuk Gucci dan Yves Saint Laurent, yang menuduh syarikat itu berkonspirasi untuk mengeluarkan, menjual dan menjalankan urus niaga produk palsu mengandungi tanda dagang mereka tanpa kebenaran, demikian lapor akhbar China Daily.

Syarikat berpangkalan di Paris itu memfailkan tuntutan mahkamah di mahkamah persekutuan Manhattan pada Jumaat, menuntut ganti rugi dan injuksi bagi tuduhan pelanggaran undang-undang tanda niaga dan kegiatan larangan.

“Alibaba Group telah bekerjasama dengan pelbagai jenama bagi membantu mereka melindungi harta intelek mereka, dan memiliki rekod prestasi kukuh dalam berbuat demikian.

“Malangnya, Kering Group memilih tindakan undang-undang berat sebelah dan bukannya menyelesaikan perkara itu menerusi kerjasama membina,” demikian akhbar harian berbahasa Inggeris itu memetik kenyataan syarikat itu sebagai berkata.

Akhbar harian itu melaporkan Alibaba disaman buat kali kedua oleh Kering dalam tempoh setahun, tetapi Kering telah menarik balik saman yang terakhir di bawah satu perjanjian untuk bekerjasama dalam isu itu. – Bernama/AFP

ARTIKEL YANG SAMA