Alibaba, penerbit ‘Harry Potter’ umum hasil filem

Alibaba, penerbit ‘Harry Potter’ umum hasil filem

BEIJING, 20 Nov – Unit filem syarikat e-dagangan China Alibaba dan penerbit Britain ‘Harry Potter’ David Heyman mengumumkan hari ini mereka akan mengeluarkan satu filem fantasi Warriors berdasarkan siri buku mengenai kucing berperang.

Filem lakonan hidup dengan kucing yang dihasilkan daripada komputer itu adalah berdasarkan buku Britain untuk orang dewasa muda mengenai keluarga kucing liar, dengan tema termasuk pengembaraan, cinta terlarang dan kebaikan melawan kejahatan. Siri berkenaan mempunyai pengikut di negara termasuk China, dan filem tersebut adalah untuk penonton di seluruh dunia.

Heyman, penerbit filem bebas di belakang Paddington dan Gravity, berkata beliau berjumpa dengan Alibaba semasa di China hampir dua tahun lalu ketika satu lawatan untuk mempromosi Paddington, kreativiti Britain dan tukaran kebudayaan Britain-China.

“Ia akan menjadi pasaran terbesar di dunia, maka anda akan memahami pasaran berkenaan,” kata beliau pada persidangan akhbar di Kedutaan Britain di Beijing.

“Adalah sukar untuk menerbitkan filem hari ini, saya sudah mencapai kejayaan namun setiap kali anda mulakan satu filem anda mulakan satu perniagaan baru, maka saya sentiasa mencari orang di seluruh dunia.”

Beliau berkata tidak seperti sesetengah filem yang diterbitkan oleh China dan Barat di mana “anda rasa perkahwinan adalah paksa, sesuatu yang dilakukan hanya disebabkan anda mahu wang China,” Warriors adalah kisah China-Britain yang sempurna disebabkan nilainya adalah sejagat.”– AP