Alibaba tingkat pengalaman pembeli

SHANGHAI, 12 Nov — Alibaba Group mahu meningkatkan pengalaman pembeli dan penjual menerusi platform e-dagangnya berdasarkan pentingnya Malaysia sebagai hab infrastruktur menerusi Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) bagi rantau Asia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Daniel Zhang berkata kumpulan itu melancarkan kempen media dan sosial pertamanya tahun ini di Malaysia susulan sambutan menggalakkan daripada pengguna Cina Malaysia sejak beberapa tahun lepas menerusi laman web e-dagangnya, Taobao.

“Kami mahu aktif melaksanakan strategi eksport dengan membantu mengembangkan jenama tempatan dan antarabangsa, dan pada masa yang sama terus melibatkan pelanggan untuk memahami amalan membeli-belah mereka dalam mewujudkan permintaan yang lebih besar.

“Memandangkan kami sedang berkembang di Malaysia, sudah semestinya kami mahu terus mendorong pertumbuhan. Kami merancang melaksanakan lebih banyak kempen untuk Malaysia dan negara lain di Asia Tenggara memandangkan terdapat lebih 600 juta penduduk untuk diteroka,” kata Zhang pada sidang akhbar sempena Festival Membeli-belah Global 11.11 2017 di sini pada Sabtu.

Sementara itu, mengulas mengenai strategi konsep ‘Runcit Baharu’, yang kini dilaksanakan di beberapa pasar raya dan kedai dengan kerjasama pedagang di China, beliau berkata ia hanya berdaya maju untuk dilaksanakan apabila konsep itu matang dan stabil.

Para pekerja ketika melakukan kerja-kerja pembungkusan di pusat pengedaran sebuah syarikat kiriman di Weifang City, Wilayah Shandong, China pada 12 November, 2017. Alibaba Group mahu meningkatkan pengalaman pembeli dan penjual menerusi platform e-dagangnya berdasarkan pentingnya Malaysia sebagai hab infrastruktur menerusi Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) bagi rantau Asia. – Xinhua

Konsep ini membolehkan penglibatan lancar antara pengalaman membeli-belah dalam talian dan di luar talian dan pada masa yang sama menggabungkan teknologi risikan buatan (AI) dan realiti (AR).

Festival 11.11 Alibaba 2017 mencatatkan 168.2 bilion renminbi (RMB (AS$25.38 bilion) dalam jumlah dagangan kasar (GMV) berbanding RMB120.7 bilion (AS$17.8 bilion) pada 2016.

Zhang berkata ini merupakan pertumbuhan 39 peratus berbanding 2016.

Jumlah GMV menerusi transaksi mudah alih yang diperoleh dalam satu hari meningkat kepada 90 peratus berbanding 82 peratus tahun lepas.

Beliau juga berkata 51 cabang logistik milik Alibaba, Cainiao Network, memproses lebih daripada 812 juta pesanan penghantaran dengan urus niaga lengkap dari 225 negara dan kawasan.

Acara itu menawarkan 15 juta produk yang memperagakan 140,000 jenama, dengan 60,000 membabitkan jenama antarabangsa. – Bernama