Aliran Arab terus dikembang majukan

Aliran Arab terus dikembang majukan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Ogos – Dalam tempoh 50 tahun lalu, persekolahan menengah agama aliran Arab sentiasa dikembang majukan dan dikukuhkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi menepati hasrat murni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien.

Perkara tersebut disentuh oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa menyampaikan ucapan di Majlis Doa Kesyukuran Sambutan Jubli Emas sempena memperingati 50 tahun peletakan batu asas Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SUAMPRIPAD), yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan, pagi tadi, di sini.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin menegaskan, “Maka sekarang tugas kita ialah memandang ke hadapan. Kita hendaklah memastikan kesinambungan persekolahan menengah agama aliran Arab itu tetap relevan dengan berimpak positif kepada pembangunan modal insan yang diperlukan oleh negara.”

Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa pada masa ini terdapat tujuh buah sekolah menengah agama aliran Arab dengan seramai 4,642 orang murid dan pelajar yang menandakan keyakinan orang ramai kepada relevannya di negara ini dan hala tuju serta landasan persekolahan ini perlu terus dikembangkan dan dijayakan.

Sehubungan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam baru-baru ini telah memperkenankan penubuhan jawatankuasa menyemak hala tuju persekolahan Arab.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin ketika menyampaikan ucapan.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin ketika menyampaikan ucapan.

Menurut Yang Berhormat Pehin, jawatankuasa tersebut diberikan tugas bagi memastikan penubuhan persekolahan Arab dilaksanakan mengikut landasannya menurut titah-titah Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien sempena peletakan batu asas bangunan kedua-dua buah sekolah Arab masing-masing dalam tahun 1964 dan 1966.

Landasan tersebut telah dilanjutkan dan ditegaskan lagi dengan titah-titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia masing-masing pada 14 Julai 1979, pada 23 November 1991 dan 15 Julai 1992.

Yang Berhormat Pehin menjelaskan lagi, pada keseluruhannya, adapun tugas memastikan persekolahan Arab dilaksanakan menurut landasannya itu ialah agar ia tidak tergelincir daripada hasrat memajukan pengajian menengah agama aliran (medium) Bahasa Arab dengan mengambil kira titah-titah yang berkenan khasnya titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa Baginda Sultan berangkat ke Mesyuarat Khas Majlis Ugama Islam pada 27 Februari tahun ini.

Yang Berhormat Pehin berharap agar apa yang dilakukan pada masa ini dapat membantu generasi akan datang untuk mengharungi zaman mereka dengan tetap berada pada landasan yang kukuh iaitu perkembangan pendidikan dan persekolahan menengah agama aliran Arab dengan mempunyai dasar-dasar pelajaran yang sesuai menurut laila kemajuan negara.

ARTIKEL YANG SAMA