Aliran masuk FDI ke ASEAN akan atasi China

KUALA LUMPUR, 15 Feb – United Overseas Bank (M) Bhd meramalkan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke ASEAN akan mengatasi China buat pertama kalinya dalam tahun ini selepas ketinggalan lebih satu dekad.

Ahli Ekonominya Julia Goh dalam satu kenyataan hari ini, berkata saham terkumpul FDI di ASEAN telah meningkat pada kadar tahunan yang mantap iaitu sebanyak 15 peratus sejak 1980.

“Kami lihat aliran FDI ke dalam ASEAN akan terus mendapat momentum.

Kami menjangkakan saham pelaburan ke dalam ASEAN akan naik tiga kali ganda kepada AS$5.2 trilion dalam 2030, daripada anggaran kami iaitu sebanyak AS$1.8 trilion pada 2015 (AS$1=RM4.44),” katanya.

Kekurangan dalam pelaburan infrastruktur termasuk pembukaan sempadan ekonomi ASEAN yang baharu seperti Myanmar, memberikan peluang-peluang yang besar kepada para pelabur.

“Masalah semasa telah menarik perhatian pelabur-pelabur asing dan ASEAN telah mencatatkan peningkatan aliran FDI dalam tempoh beberapa tahun,” katanya.

Tambahan pula, pelaksanaan Komuniti Ekonomi ASEAN pada awal 2016, merupakan satu pencapaian dalam kerjasama ekonomi yang lebih erat di kalangan negara-negara ASEAN.

“Sinergi daripada kelebihan bandingan yang berbeza mampu memberikan peluang yang sangat besar bagi sektor domestik serta pelabur-pelabur asing,” kata Goh. – Bernama