Aliran RMB China, Singapura kukuh

Aliran RMB China, Singapura kukuh

SINGAPURA, 9 Nov (Bernama) – Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) menyatakan inisiatif mengukuhkan aliran rentas sempadan Renminbi (RMB) dan komitmen untuk bekerjasama dalam hubungan pasaran modal antara China dan Singapura adalah hasil utama kerjasama kewangan susulan daripada lawatan Presiden China Xi Jinping ke negara ini.

Bank pusat itu dalam satu kenyataan berkata tiga inisiatif utama diumumkan untuk mengembangkan lagi saluran aliran rentas sempadan RMB dan memantapkan ekosistem bagi menyokong penggunaan RMB yang lebih meluas di luar China.

Pengarah Urusan MAS, Ravi Menon dipetik sebagai berkata setakat ini Singapura dan China telah mencapai kejayaan memberangsangkan dalam kerjasama RMB.

“Ia memberi manfaat kepada pusat kewangan kita di samping menyokong pengantarabangsaan RMB secara beransur-ansur dan teratur.

“Dalam fasa seterusnya kerjasama kewangan kami dengan China, kami berharap dapat mencontohi bidang pembangunan pasaran modal, kejayaan yang kita capai dalam membangunkan ekosistem RMB,” katanya.

Beliau juga berkata terdapat skop besar bagi China untuk memanfaatkan bilangan pelabur institusi yang besar di Singapura dan membentuk pasaran derivatif bagi memudahkan pembangunan pasaran modal sendiri China.

“Terdapat juga peluang besar bagi bursa di kedua-dua pihak untuk bekerjasama dengan cara yang saling memberi manfaat,” kata Ravi.

ARTIKEL YANG SAMA