All Black kekal pasukan terbaik dunia

All Black kekal pasukan terbaik dunia

LONDON, 15 Nov – Juara dunia New Zealand (All Black) dinobatkan sebagai pasukan terbaik pada anugerah Ragbi Dunia di sini, semalam.

Walaupun kehilangan beberapa pemain tonggak seperti Dan Carter dan Richie McCaw selepas kemenangan ke atas Australia pada saingan Piala Dunia tahun lalu, mereka mengekalkan rentak untuk menjuarai Kejuaraan Ragbi.

Sepanjang proses itu, mereka turut mencipta rekod dunia dengan memenangi 18 perlawanan antarabangsa (Test) berturut-turut.

Deretan kemenangan itu bagaimanapun ditamatkan Ireland yang menewaskan New Zealand 40-29 di Chicago bulan lalu, tetapi mereka bangkit dengan membelasah Itali dan berpeluang membalas dendam ke atas Ireland dalam pertemuan di Dublin Sabtu ini.

Pengendali New Zealand, Steve Hansen turut dinobat sebagai jurulatih terbaik buat kali keempat dalam tempoh lima tahun pada majlis berkenaan.

Jurulatih 57 tahun itu, yang menggantikan Graham Henry apabila ketua jurulatih itu meletak jawatan selepas kejayaan Piala Dunia 2011, berjaya mengimbangi kekosongan skuad selepas Carter dan McCaw bersara dari arena antarabangsa. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA