Allardyce cabar Sunderland

Allardyce cabar Sunderland

LONDON, 10 Mei (AFP) – Sam Allardyce mencabar Sunderland untuk meloloskan diri sekali lagi daripada zon penyingkiran dengan menewaskan Everton, awal pagi esok untuk menjamin kedudukan dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.

Skuad bimbingan Allardyce seperti ditakdirkan tersingkir ke Liga Kejuaraan beberapa minggu lalu, namun The Black Cats kembali bangkit daripada kelompok tiga terbawah dengan sekadar mengutip satu kekalahan sepanjang sembilan perlawanan terakhir dan kini perlu bertarung dengan Newcastle dan Norwich City.

Kemenangan 3-2 ke atas Chelsea pada Sabtu lalu adalah titik perubahan penting tatkala Sunderland bangkit bergaya daripada ketinggalan, manakala Newcastle dan Norwich masing-masing tercicir mata.

Sunderland, yang sering meloloskan diri daripada tersingkir sejak tiga musim lalu, kini satu mata di atas pasukan tangga ketiga terbawah Newcastle dan akan menjamin musim ke-10 berturut-turut dalam kancah liga utama jika menundukkan Everton malam esok.

“Takdir kami kini berada dalam tangan sendiri. Kami berjaya bangkit daripada permulaan musim yang teruk dengan kemenangan besar, “kata Allardyce.

“Jelas sekali keputusan seri Newcastle dan kekalahan Norwich meletakkan kami dalam kedudukan yang sangat baik. Sekarang kami perlu memanfaatkan peluang ini dan cuba menyelesaikannya.”