Allardyce letak jawatan pengurus England

Allardyce letak jawatan pengurus England

LONDON, 28 Sept – England perlu mencari pengurus baru sekali lagi apabila Sam Allardyce meletak jawatan itu selepas 67 hari membimbing skuad The Three Lions apabila dirinya tertangkap dengan komen ke atas wartawan yang menyamar sebagai ahli perniagaan dan kemudian melaporkan skandalnya cuba ‘mengelak’ peraturan Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA).

Akhbar British, The Daily Telegraph memaparkan rakaman video Allardyce memberikan nasihat bagi mengelakkan peraturan perpindahan kepada wartawan akhbar tersebut.

FA Inggeris bertindak segera selepas laporan tersebut dengan mengadakan perbincangan bersama Allardyce di London sebelum mengumumkan penghujung jawatannya dalam tempoh singkat yang dipersetujui kedua belah pihak.

“Berdasarkan tuduhan media yang telah kami lihat, kami memutuskan dan Sam juga bersetuju bahawa sikapnya itu tidak wajar untuk dilakukan sebagai seorang Pengurus England,” kata Ketua Eksekutif FA, Martin Glenn.

Ditanya berhubung reaksi Alladyce selepas keputusan itu, Glenn berkata: “Saya tahu secara peribadi dirinya amat kecewa namun saya juga memahami mengapa FA harus mengambil keputusan sukar sebegini.”

Sam Allardyce ketika ditemui di luar rumahnya selepas meninggalkan jawatan sebagai pengurus pasukan bola sepak England. – AFP
Sam Allardyce ketika ditemui di luar rumahnya selepas meninggalkan jawatan sebagai pengurus pasukan bola sepak England. – AFP

Allardyce dilantik sebagai pengurus England pada Julai dengan kontrak 3 juta pound (AS$3.9 juta) setahun, yang juga bersetuju untuk pergi ke Singapura dan Hong Kong sebagai duta bagi firma rekaan mereka dengan yuran 400,000 pound.

Allardyce dan FA bersetuju jawatannya tidak dapat dipertahankan dan membuatnya tanpa pilihan lain selain meninggalkan jawatan impiannya yang didambakannya untuk lebih sedekad itu.

“FA boleh mengesahkan bahawa Sam Allardyce telah meninggalkan jawatannya sebagai pengurus England,” keterangan FA dipetik sebagai berkata.

Komen-komen bersifat hasutan Allardyce disiarkan pada lewat Isnin dan awal kelmarin, bekas bos Sunderland dan West Ham itu berkejar ke London dalam bidaan gagal untuk menyelamatkan jawatannya.

Pengerusi FA Greg Clarke dan ketua eksekutif Martin Glenn telah mengadakan rundingan bersama Allardyce di Wembley dan setelah tidak berupaya untuk mempertahankan tindakannya, nasibnya sudah diketahui beberapa jam selepas itu.

Allardyce telah dilantik untuk menggantikan Hodgson selepas kempen teruk England pada Euro 2016 berakhir apabila ditewaskan pasukan baru menaik Iceland. – AFP