Alli terus bersama Spurs hingga 2022

Alli terus bersama Spurs hingga 2022

LONDON, 19 Sept – Pemain midfield Tottenham Hotspur, Dele Alli menandatangani kontrak baru bagi melanjutkan khidmat selama enam tahun bersama kelab utara London itu hingga 2022.

Pemain kebangsaan England, Alli mula menyertai Spurs dari kelab yang beraksi di liga bawah, MK Dons pada Februari 2015 dan pemain berusia 20 tahun itu sudah meledak 11 gol dan membantu penghasilan sembilan jaringan dalam 28 penampilannya dalam saingan Liga Perdana buat pasukan The White Hart Lane itu.

Alli mengikut jejak langkah rakan sepasukannya di Spurs, Christian Eriksen, Eric Dier, Tom Carroll dan Harry Winks, yang masing-masing melanjutkan kontrak mereka, baru-baru ini.

“Saya gembira berada di sini dan bermain bersama Tottenham,” kata Alli dalam akaun Twitter rasmi kelab itu.

“Secara peribadi saya tidak dapat memikirkan yang lebih baik, dengan penyokongnya, pengurus yang kami miliki di sini dan pasukan muda. Ia satu tempat yang hebat.”

Alli mula membuka tirai kempennya pada musim lalu pada perlawanan Tottenham menentang Manchester United, pada Ogos 2015.

Dia juga memainkan peranan penting bagi membantu Spurs menamatkan Liga Perdana di tangga ketiga carta dan melayakkan kelab ke saingan elit Eropah, Liga Juara-Juara.

Alli menamatkan musim lalu dengan diangkat sebagai Pemain Muda Terbaik 2015/16 oleh Persatuan Bola Sepak Profesional England. – AFP