Allianz beli saham firma insurans Filipina

Allianz beli saham firma insurans Filipina

MANILA, 23 Dis (AFP) – Syarikat insurans Eropah Allianz membeli saham majoriti dalam salah sebuah firma insurans terbesar di Filipina dengan harga yang tidak didedahkan, kata firma Filipina hari ini.

Allianz yang berpangkalan di Munich menandatangani satu perjanjian untuk membeli 51 peratus saham dalam PNB Life Insurance, dimiliki oleh Bank Nasional Filipina (PNB), kata Caesar Alterejos, ketua pegawai kewangan PNB Life.

Beliau enggan mendedahkan harganya.

Pelaburan dalam PNB Life, salah satu daripada 10 syarikat insurans terbesar negara, akan menandakan kepulangan Allianz ke Filipina, setelah menarik diri daripada satu usaha saham dengan sebuah lagi syarikat insurans tempatan pada 2003.

“Mereka sedang kembali sekarang disebabkan terdapat satu perubahan persekitaran di Asia terutamanya di Filipina,” beritahu Alterejos kepada AFP.

Gugusan kepulauan Asia Tenggara itu telah mencatat kebangkitan semula ekonomi dalam beberapa tahun ini, mencatat kadar pertumbuhan di belakang China di Asia.

Salah satu aspek utama pelaburan adalah perjanjian “bancassurance” 15 tahun di mana produk insurans Allianz akan dijual menerusi rangkaian PNB yang terdiri daripada lebih 660 cawangan bank, tambah Alterejos.

“Filipina adalah pasaran insurans yang berkembang amat pesat yang disokong oleh prospek ekonomi sihat dan jumlah penduduk muda yang ramai melebihi 100 juta orang,” satu pendedahan kepada bursa saham memetik ketua pegawai eksekutif Allianz Asia Pasifik George Sartorel sebagai berkata.

“Urus niaga dengan PNB adalah satu peluang unik untuk menembusi pasaran.”

PNB Life mencatat pendapatan berjumlah 2.142 bilion peso pada 2014, kata laman webnya.

Alterejos meramalkan pendapatan syarikat adalah “lebih tinggi” pada tahun ini, tanpa memberikan jumlah sebenar.