Almaty tawarkan salji sebenar untuk Sukan Olimpik

Almaty tawarkan salji sebenar untuk Sukan Olimpik

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) – Alam semulajadi memainkan peranan penting bagi Almaty dalam bidaannya untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.

Menampilkan slogan ‘Keeping it Real’, Almaty menekankan bahawa ia mempunyai liputan salji semulajadi yang padat dan kebanyakan venue boleh diakses dalam masa setengah jam perjalanan dengan berlatarkan pemandangan Alpine.

“Kami adalah sebuah bandar sukan sebenar, sebuah bandar musim sejuk yang sebenar. Kami tidak ingin menukar bandar ini sebaliknya mahu terus mengekalkannya seperti itu,” kata Naib Pengerusi Bidaan Almaty 2022 Andrey Kryukov dalam taklimat media di sini.

Bagi Almaty, bandar terbesar di Kazakhstan, bidaan itu bermaksud menaik taraf venue dari zaman sukan Kesatuan Soviet menjadi venue yang bercirikan glamor Olimpik.

Kryukov berkata Almaty mempunyai venue yang berdekatan dengan pusat bandar, kompleks sukan yang lengkap dan salji sebenar.

Andrey Kryukov (kiri), pemenang pingat gangsa Sochi 2014 Denis Ten (tengah) dan peserta belia Olimpik Innsbruck 2012, Karina Uzurova (kanan) menghadiri taklimat media di Kuala Lumpur petang tadi. - AFP
Andrey Kryukov (kiri), pemenang pingat gangsa Sochi 2014 Denis Ten (tengah) dan peserta belia Olimpik Innsbruck 2012, Karina Uzurova (kanan) menghadiri taklimat media di Kuala Lumpur petang tadi. – AFP

Beijing, pesaing Almaty bagi bidaan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022, pula menyediakan salji tiruan untuk acara ski alpine di Chongli, 160 kilometer dari pusat bandar Beijing.

Pengalaman menjadi tuan rumah penting untuk menjayakan operasi Sukan Musim Sejuk dan Kazakhstan berpengalaman luas dalam penganjuran sukan musim sejuk, kata Kryukov.

Untuk rekod, bandar itu menjadi tuan rumah Musim Sejuk Asia pada 2011, Kejohanan Luncur Laju Universiti Dunia pada 2014, Kejohanan Dunia Junior Nordic FIS Bawah-23 2015, Grand Prix Loncatan Ski FIS 2010-2014 dan Piala Benua Loncatan Ski 2010-2012.

Almaty turut dipilih sebagai tuan rumah untuk Universiade Musim Sejuk yang dijadualkan berlangsung dari 28 Jan hingga 8 Feb 2017.

ARTIKEL YANG SAMA