Alonso dibuang padang

Alonso dibuang padang

BERLIN, 7 Feb (AFP) – Pemain tengah, Xabi Alonso diarah keluar padang ketika Bayern Munich yang terpaksa beraksi 10 pemain diikat tanpa jaringan bertemu Bayer Leverkusen, malam tadi.

Keputusan itu adalah penutup kepada minggu penuh kelam kabut buat pendahulu Bundesliga Jerman itu dengan Alonso dilayangkan kad merah selepas menerima dua kad kuning pada babak kedua aksi di BayArena itu.

Selepas dilayangkan kad kuning pertama kerana menjatuhkan pemain Leverkusen, Julian Brandt pada minit ke-78, terjahan kasar Alonso kepada Javi Hernandez, enam minit kemudian menyaksikannya diarah keluar padang. Ini kali kelima pemain kelahiran Sepanyol itu menerima kad merah sepanjang kariernya namun pertama di Bundesliga.

“Ia bukannya kad kuning,” kata pengurus Bayern, Pep Guardiola selepas melihat kembali rakaman terjahan Alonso ke atas Hernandez.

“Kami bergelut pada babak pertama untuk melakukan hantaran. Jika kamu tidak mampu melakukannya, adalah mustahil untuk bermain.

Alonso meninggalkan padang selepas dilayangkan kad merah menentang Bayer Leverkusen. – Reuters
Alonso meninggalkan padang selepas dilayangkan kad merah menentang Bayer Leverkusen. – Reuters

“Saya fikir kami sudah melakukan yang sepatutnya pada babak kedua untuk menang, namun permainan tidak pernah mudah di Leverkusen.”

Ketika ditanya mengenai soalan membabitkan perpindahannya ke Manchester City, bekas pengurus Barcelona itu tampak meluat dan enggan mengulas.

“Tolonglah, jangan soal mengenai topik ini lagi,” katanya ketika ditanya sama ada sukar buatnya untuk kekal fokus di Bayern.

Keputusan menyaksikan kelebihan lapan mata yang dimiliki Bayern ke atas Borussia Dortmund di tangga kedua kekal lapan mata. Dortmund dalam pada itu turut mencatat keputusan seri tanpa jaringan bertemu Hertha Berlin pada perlawanan yang turut disaksikan bekas pengurus Chelsea, Jose Mourinho.

ARTIKEL YANG SAMA