Alonso mengaku minat semakin luntur

Alonso mengaku minat semakin luntur

BUDAPEST, 27 Julai (AFP) – Fernando Alonso akhirnya mengaku dia semakin hilang minat terhadap Formula Satu dan sedang memikirkan untuk menyertai sukan perlumbaan lain.

Sejam selepas mengemudi jentera McLaren-Honda di pusingan kelayakan Grand Prix Hungary, pemandu Sepanyol berusia 33 tahun itu menerangkan mengapa aksi F1 tidak lagi menjadi sesuatu yang istimewa baginya.

“Sebelum ini perlumbaan lebih seronok tetapi saya tidak fikir ia disebabkan kami mempunyai lebih banyak kemudahan serta pengetahuan mengenai perlumbaan,” kata bekas juara dunia itu.

“Sebelum ini kami lebih bebas ketika menguji jentera dan kami juga lebih gembira meningkatkan kemampuan jentera masing-masing.

“Ketika itu, anda merasakan jentera anda tidak begitu mengancam pada suku pertama perlumbaan dan selepas beberapa perubahan, jentera anda mula memberi tentangan.

Alonso mengaku semakin hilang minat terhadap Formula Satu. – Reuters
Alonso mengaku semakin hilang minat terhadap Formula Satu. – Reuters

“Ketika ini, Mercedes pasti menang semua perlumbaan manakala Manor akan menduduki tempat terakhir dan sedikit sebanyak kemudahan serta kebijaksanaan pelumba serta pasukan tidak begitu penting.” Selepas bergelut dengan pasukan McLaren-Honda sepanjang musim ini apabila meninggalkan pasukan Ferrari tahun lalu, Alonso mendakwa minatnya semakin berkurangan untuk berlumba.

“Sekarang, motivasi untuk berlumba tetap ada cuma minatnya semakin menurun. Saya mempunyai perancangan lain,” katanya.

“Perlumbaan pertama saya dengan menaiki go-kart ialah replika McLaren-Honda dan kini saya benar-benar berlumba dengan jentera itu. Saya gembira dapat berlumba bersama pasukan ini.

“Tetapi dengan keadaan seperti ini, dengan pelbagai masalah membelenggu, saya mula terfikir untuk mencuba bidang lain pula.”