Alonso sedia berlumba

Alonso sedia berlumba

LONDON, 13 April (Reuters) – Fernando Alonso berharap untuk menyertai perlumbaan bagi pasukan McLaren hujung minggu ini di Grand Prix Formula Satu China, namun pemandu warga Sepanyol itu berkata dia bersedia bagi apa juga keputusan menjelang ujian kecergasan di litar Shanghai.

Juara dunia dua kali itu mengalami keretakan pada tulang rusuknya pada perlumbaan pembukaan di GP Australia pada 20 Mac lalu dan pasukan perubatan pengendali FIA kemudian menyingkirkannya daripada menyertai perlumbaan di Bahrain.

Dia akan menjalani lebih banyak lagi ujian di litar China esok sebelum pusingan ketiga 21 perlumbaan musim ini.

“Ia sangat mendukacitakan apabila saya diberitahu untuk tidak boleh menyertai perlumbaan di Bahrain, namun saya amat menghormati keputusan pasukan perubatan FIA,” dia berkata dalam satu temu bual ringkas bagi perlumbaan itu.

“Sementara saya berharap akan kembali dalam kokpit Jumaat ini (bagi latihan), sehingga mendapat lampu hijau daripada pihak doktor untuk berlumba, bila masa ia terjadi, kita tidak boleh mengandaikan apa-apa.

Alonso berada di tepi litar menyaksikan perlumbaan GP Bahrain. – AFP
Alonso berada di tepi litar menyaksikan perlumbaan GP Bahrain. – AFP

“Namun saya tetap terus bersedia bagi perlumbaan seperti biasa.” Pelumba Sepanyol itu digantikan oleh pemandu simpanan Stoffel Vandoorne di perlumbaan Bahrain, yang mengakhiri perlumbaan di kedudukan ke-10 untuk memberikan pada pertama bagi McLaren musim ini selepas rakan sepasukannya Jenson Button gagal untuk menghabiskan perlumbaan.

Pemandu simpanan itu kini dalam keadaan siap siaga bagi perlumbaan China.

Alonso juga kekal berada di litar Sakhir untuk membantu Vandoorne ketika penampilan pertamanya itu, dan menyaksikan kesudahan perlumbaan dari tepi litar.

“Ia sesuatu yang positif untuk melihat kedua-dua kereta mempamerkan kuasa kuat ketika hujung minggu lalu,” katanya.

“Ia jua amat menarik bagi saya untuk melihat kesudahan perlumbaan itu dari perspektif berbeza, yang membantu saya untuk memahami kesemua dalam mempersiapkan kereta di litar dan mempelajari banyak perkara mengenai proses-proses berbeza.”

Alonso yang memenangi dua kali di China sebelum ini, sekali bersama Ferrari dan sekali bersama Renault.

ARTIKEL YANG SAMA