Alu-alukan pelaburan dari Vietnam

Alu-alukan pelaburan dari Vietnam

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Ogos – Negara Brunei Darussalam amat mengalu-alukan perusahaan dan syarikat dari Republik Sosialis Vietnam untuk melabur dalam pelbagai sektor di Brunei termasuk makanan halal, farmaseutikal halal, industri teknologi dan kreatif, logistik serta industri hiliran minyak dan gas.

Brunei amat menghargai hubungan persahabatan dan hubungan perdagangan yang erat di antara kedua-dua buah negara serta yakin bahawa hubungan perdagangan itu akan mengukuhkan lagi hubungan dua hala di antara negara dan penduduk kedua-dua buah negara.

Dalam hubungan itu, Brunei dan Vietnam harus menggunakan hubungan dua hala dan politik yang erat di antara kedua-dua buah negara itu untuk mengukuhkan serta menubuhkan kerjasama ekonomi yang lebih kukuh, kata Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar dalam ucapan mengenai pelaburan di Brunei Darussalam semasa Forum Perniagaan Brunei Darussalam-Vietnam yang berlangsung di The Empire Hotel & Country Club, Jerudong, hari ini.

Beliau berkata lagi menerusi forum itu, ia memberikan langkah pertama yang baik untuk memahami mengenai peluang-peluang perniagaan yang ada di Brunei dan Vietnam. Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya berkata bahawa Brunei seperti Vietnam mempunyai lokasi yang strategik sebagai platform untuk meneroka pasaran ASEAN di mana Brunei mempunyai kesalinghubungan yang baik melalui laluan laut, udara dan internet di mana menerusi laluan laut, Pelabuhan Brunei mempunyai 13 laluan perkapalan ke 15 buah pelabuhan di Asia, laluan udara yang baik dengan penerbangan harian ke lokasi-lokasi seperti Singapura, Kuala Lumpur, Hong Kong, Melbourne, Dubai dan London serta juga mempunyai penerbangan empat kali seminggu ke Ho Chi Minh City, Vitenam dan internet Brunei dihubungkan melalui tiga kabel dalam lautan yang utama.

Di samping itu, Brunei juga merupakan anggota kepada pelbagai pertubuhan seperti ASEAN, APEC, TPP, WTO dan BIMP-EAGA di mana ia memberikan Brunei akses yang kompetitif ke dalam pasaran penting menerusi pelbagai perjanjian di bawah mekanisme pertubuhan berkenaan.

Yang Berhormat Pehin Lim Jock Seng ketika berucap pada majlis itu.
Yang Berhormat Pehin Lim Jock Seng ketika berucap pada majlis itu.

Yang Berhormat Pehin turut menyentuh mengenai usaha kerajaan untuk memperbaiki lagi proses melaksanakan atau menjalankan perniagaan di Brunei supaya ia adalah lebih mudah, cepat dan efisien menerusi usaha memperbaiki Ease of Doing Business.

Di samping itu, Brunei menyediakan iklim cukai yang baik dan memberikan alternatif kepada peluang mengadakan kerjasama pelaburan bersama dengan Kementerian Kewangan melalui Dana Pembangunan Kapital Strategik (SDC) dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLCs) serta undang-undang Brunei adalah pro-perniagaan dan pro-pelaburan yang mengandungi undang-undang Harta Intelektual yang komprehensif yang dapat memberikan perlindungan seluruh dunia bagi pelaburan dan inovasi para pelabur.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng dalam kata alu-aluannya, berkata bahawa Brunei dan Vietnam sedang mengejar visi ekonomi masing-masing menerusi Wawasan 2035 bagi Brunei dan Dasar Doi Moi bagi Vietnam di mana dengan kedua-dua buah negara mempunyai aspirasi serta objektif yang serupa iaitu untuk mencapai pembangunan negara yang lebih tinggi, memberi ruang atau potensi yang lebih besar untuk mendalamkan lagi penglibatan komersial dan ekonomi di antara kedua-dua buah negara.

Di samping itu, Yang Berhormat Pehin Lim Jock Seng berkata menerusi kerjasama yang rapat dalam ASEAN dan APEC, kedua-dua buah negara juga berkongsi nilai dan prinsip yang serupa sebagai ekonomi yang membangun.

Dalam hubungan itu, Yang Berhormat Pehin berharap kegiatan ekonomi di antara Brunei dan Vietnam akan terus berkembang bagi menjana manfaat bersama.

Antara yang menghadiri Forum Perniagaan Brunei Darussalam-Vietnam.
Antara yang menghadiri Forum Perniagaan Brunei Darussalam-Vietnam.

pg04_160829_c

Sementara itu, Menteri Perindustrian dan Perdagangan Vietnam, Tran Tuan Anh dalam ucapannya mengenai peluang perniagaan dan pelaburan di antara Brunei dan Vietnam mendedahkan bahawa perdagangan dua hala di antara Brunei dan Vietnam telah meningkat sebanyak tiga kali ganda dari 2010 hingga 2015 iaitu daripada AS$24 juta pada 2010 kepada lebih daripada AS$74 juta pada 2015.

Menurutnya, perangkaan itu adalah amat memberangsangkan tetapi yakin bahawa potensi sebenar perdagangan dua hala di antara kedua-dua buah negara masih belum dieksploitasikan sepenuhnya.

Beliau berkata bahawa eksport utama Vietnam ke Brunei adalah beras dan makanan laut manakala eksport utama Brunei ke Vietnam pula ialah minyak mentah dan bahan kimia.

Dari segi pelaburan pula, Tran berkata sehingga Jun 2016, Brunei mempunyai sebanyak 205 projek dengan jumlah kapital berdaftar sebanyak $2.2 bilion di Vietnam yang mana Brunei berada di kedudukan 18 daripada 116 buah negara yang melabur di Vietnam dan dalam kalangan negara ASEAN, Brunei berada di belakang Singapura, Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Beliau berkata bahawa Brunei melabur dalam 10 daripada 21 sektor di Vietnam termasuk pembuatan dan pemprosesan, hartanah, pembinaan, borong dan jualan manakala itu, Vietnam hanya mempunyai satu projek di Brunei dalam sektor perkhidmatan dengan pelaburan yang terhad.

Dalam hubungan itu, beliau berkata penganjuran Forum Perniagaan Brunei Darussalam-Vietnam adalah amat bertepatan sekali di mana ia memberikan peluang kepada komuniti perniagaan kedua-dua buah negara untuk melihat sendiri mengenai peluang-peluang perniagaan bagi mengembangkan lagi pasaran masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA