Alvarez kekalkan tali pinggang middleweight WBC

Alvarez kekalkan tali pinggang middleweight WBC

LOS ANGELES, 8 Mei (AFP) – Peninju Mexico, Canelo Alvarez mempertahankan tali pinggang kelas middleweight Majlis Tinju Dunia (WBC) selepas menumbangkan Amir Khan menerusi tumbukan padu tangan kanan pada pusingan enam di Las Vegas, hari ini.

Peninju berusia 25 tahun yang dikenali dengan tumbukan ganas itu menjatuhkan lawannya dari Britain di gelanggang menerusi tumbukan padu tepat ke kiri muka Khan ketika berbaki 23 saat pada pusingan terbabit.

Selepas menerima tumbukan itu, kepala Khan dilihat terhentak kuat di dek pertarungan menyaksikannya terbaring tanpa sebarang gerakan untuk beberapa minit sebelum kembali bangkit dan bergerak ke penjuru gelanggang.

“Ramai orang bercakap mengenai kuasa saya namun saya mempunyai banyak lagi kualiti di atas gelanggang dan orang menyaksikannya,” kata Alvarez.

“Saya gemar untuk membuat kejutan kepada semua orang.”

Alvarez memenangi gelaran middleweight WBC selepas menewaskan Amir Khan di Las Vegas, semalam. – AP
Alvarez memenangi gelaran middleweight WBC selepas menewaskan Amir Khan di Las Vegas, semalam. – AP

Pertarungan itu sepatutnya menjadi penyelamat buat karier tinju Khan namun sebaliknya berlaku. Ia jelas tidak dijangka dengan perlawanan digembar-gemburkan bakal menjadi amat sengit sehingga pusingan terakhir.

Begitupun, pada awal pertarungan, Khan, 29, yang melangkah ke kelas lebih berat bagi bertarung dengan lawan lebih besar bermula baik malah memenangi beberapa pusingan pertama sebelum Alvarez menunjukkan belangnya di stadium serba baharu, T-Mobile Arena.

“Dia amat laju. Saya tahu ia akan menjadi sukar pada awalnya, namun saya tahu akan tiba masanya yang akan memihak kepada saya,” kata Alvarez.

ARTIKEL YANG SAMA