Amal baca Al-Quran

Amal baca Al-Quran

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mei – Haji Eddy Huzaimi bin Haji Mat Yassin dari Jabatan Perkhidmatan Bangunan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Dayang Ratinah binti Haji Hidup dari Jabatan Ukur masing-masing muncul johan qari dan qariah dalam Musabaqah Tilawah Al-Quran Kementerian Pembangunan dan Jabatan-jabatan di bawahnya Sempena Sambutan Israk dan Mikraj 1437 Hijrah.

Dalam pertandingan peringkat akhir yang berlangsung di Dewan Indera Pahlawan, Pusat Ujian Kemahiran Kerja dan Latihan, Kementerian Pembangunan, naib
johan qari dimenangi oleh Awang Mohammad Yusrin bin Daud dari Jabatan Ukur dan Awang Mohammad Isham Mudin bin Haji Maidin dari Jabatan Perkhidmatan Teknikal, JKR.

Manakala itu, Dayang Rosnani binti Haji Mohiddin dari Jabatan Perkhidmatan Bangunan, JKR diumumkan sebagai naib johan qariah diikuti oleh Dayang Soffina binti Ali Hassan dari Jabatan Mekanikal dan Elektrikal JKR di tempat ketiga.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan setiausaha tetap, para pegawai kanan serta kakitangan di Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Haji Eddy menerima piala johan qari Musabaqah Tilawah Al-Quran daripada Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin.
Haji Eddy menerima piala johan qari Musabaqah Tilawah Al-Quran daripada Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin.

Seramai tujuh peserta qari dan enam peserta qariah telah menyertai pertandingan berkenaan di peringkat saringan yang telah diadakan pada 23 April 2016, yang mengambil tempat di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya, namun hanya tiga qari dan tiga qariah yang layak ke peringkat akhir, hari ini.

Majlis seterusnya dimeriahkan dengan ceramah Israk dan Mikraj yang disampaikan oleh penceramah undangan Awang Hilman bin Haji Salim yang merupakan graduan sarjana dari Universiti Kaherah, Mesir.

Dalam ceramahnya yang bertajuk ‘Solat Kesempurnaan Dunia Akhirat’, beliau menyentuh mengenai solat sebagai satu ibadah wajib yang amat penting dan mesti dititikberatkan bagi seluruh Muslimin dan Muslimah tidak kira umur, bangsa dan keturunan. Solat juga boleh menyelesaikan segala masalah kehidupan di dunia dan di akhirat nanti.

‘Solat Kesempurnaan Dunia Akhirat’  membawa maksud bahawa dengan mengerjakan solat secara sempurna akan menjadikan seseorang lebih takwa kepada Allah Subhanahu WaTa’ala yang membawa kepada kecintaan kita kepada Allah dan lebih-lebih kita mengharap keredhaanNya melalui solat ini.

Pertandingan ini diadakan bagi menyemarakkan lagi Sambutan Israk dan Mikraj di samping menggalakkan para pegawai dan kakitangan kementerian supaya akan terus mempelajari dan menguasai bacaan Al-Quran serta menggalakkan para peserta untuk sentiasa mengamalkan membaca Al-Quran sebagai amalan harian dan beroleh berkat daripada Allah S.W.T.

Selain itu, ia bertujuan untuk menambah keyakinan pegawai dan kakitangan kerajaan, khususnya Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya serta mengeratkan hubungan silaturahim sesama pegawai dan kakitangan.

ARTIKEL YANG SAMA