Amal budaya pembelajaran sepanjang hayat

Oleh Sim Y.H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Nov – Ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Persatuan Mahasiswa/Mahasiswi Universiti Brunei Darussalam (PMUBD) diseru untuk terus mengamalkan budaya pembelajaran sepanjang hayat dan menjadi seorang pemimpin yang berjaya.

Mereka juga diseru untuk terus bersikap proaktif dalam menyertai dan mengadakan kegiatan yang bermanfaat di dalam atau luar Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Seruan itu dibuat oleh Pemangku Penolong Naib Canselor (Korporat dan Pentadbiran), Pendaftar dan Setiausaha UBD, Hajah Rubiah binti Haji Yacub ketika berucap di Majlis Pembubaran dan Pelantikan MPP PMUBD yang berlangsung di Bilik Senat, Dewan Canselor, UBD, hari ini.

Beliau turut menyatakan harapan pengalaman dan ilmu pengetahuan yang dipelajari oleh mereka sepanjang menjadi ahli MPP akan dapat diguna pakai dan dimanfaatkan sebaik-baiknya lebih-lebih lagi setelah tamat pengajian dan apabila memulakan kerjaya mereka nanti.

Mengulas mengenai ahli-ahli MPP yang baru dilantik, Hajah Rubiah berkata, mereka dapat membawa PMUBD ke tahap yang lebih mantap bagi mencapai visi dan seterusnya menjadi sebuah persatuan yang berwibawa serta disegani.

Hajah Rubiah menyampaikan sijil dan cenderahati penghargaan kepada bekas ahli-ahli MPP yang diraikan di majlis berkenaan.

Beliau juga berharap MPP akan memberikan idea dan cadangan untuk apa jua inisiatif yang dapat memberikan manfaat kepada semua pelajar UBD serta untuk mendukung visi dan misi universiti dalam pelan strategik universiti ke arah 2020 dan mendukung Wawasan Brunei 2035.

Di majlis berkenaan, Hajah Rubiah turut menyampaikan sijil dan cenderahati penghargaan kepada bekas ahli-ahli MPP yang diraikan serta menyempurnakan penyampaian surat lantikan kepada ahli-ahli MPP 2017/2018 yang baru dilantik.

Majlis kemudian menyaksikan ahli-ahli MPP sesi 2017/2018 membaca ikrar yang diketuai oleh Yang Dipertua MPP sesi 2017/2018, Awang Mohammad Ashmeer S/O Imtiaz Ahmad yang merupakan pelajar Biomedical Science Tahun 2 dari Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah yang dilantik untuk mengetuai MPP bagi dua tahun berturut-turut.

Terdahulu sebelum itu, Dekan Pelajar, Awang Saidai bin Haji Hitam dalam kata alu-aluannya menyatakan penghargaan kepada bekas ahli-ahli MPP yang diraikan dan amat menghargai perkhidmatan, sumbangan dan pengorbanan mereka ke arah pembangunan PMUBD serta ke arah merealisasikan visi dan misi PMUBD selaras dengan UBD.

Kempen undian MPP diadakan setiap tahun dan bagi 2017 ia diadakan pada September lalu di mana pada calon yang berjaya telah mengikuti Kursus Kepimpinan selama empat hari sebelum mereka dilantik dan diundi dalam kalangan mereka untuk menjawat jawatan masing-masing.

Kursus Kepimpinan yang dilalui adalah termasuk pengenalan kepada fungsi Bahagian Hal Ehwal Pelajar, PMUBD, MPP dan bagaimana mereka boleh bekerjasama dalam menyokong inisiatif strategik UBD.

Di samping itu, mereka juga mempelajari mengenai perlembagaan PMUBD, kualiti-kualiti kepimpinan, prosedur pentadbiran UBD, prosedur kewangan dan peraturan-peraturannya.

Pelantikan para pelajar sebagai ahli MPP memberikan peluang kepada mereka untuk mendapatkan pengalaman yang berguna serta mendedahkan mereka kepada bagaimana kepimpinan pelajar beroperasi dalam suasana universiti serta untuk membangunkan kemahiran dalam jawatan mereka sebelum meneruskan perjalanan sebagai pemimpin negara pada masa akan datang.