Amal cara hid...

Amal cara hidup sihat

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 18 Mei – Program Pengurangan Obesiti telah diteruskan lagi ke Sekolah Rendah Pengiran Dipa Negara Pengiran Jaya Sengkarai, Daerah Tutong, pagi tadi, dengan disertai oleh seramai 43 orang pelajar lelaki dan perempuan dari sekolah rendah dan menengah di Daerah Tutong.

Hadir mengalu-alukan kehadiran peserta program ialah Ketua Cawangan Kokurikulum Daerah Tutong, Awang Ajamain bin Haji Othman.

Program anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan melalui Unit Jasmani dan kerjasama Pusat Promosi Kesihatan itu adalah bagi meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan dalam kalangan pelajar yang mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) kategori obes dan hampir obes.

Sebagai permulaan acara program berkenaan, para pelajar telah menjalani sesi pengukuran berat badan serta ketinggian mereka bagi penilaian BMI dan seterusnya diikuti dengan senaman memanaskan badan.

Ia kemudian disusuli dengan ceramah mengenai Pemakanan Sihat dan Kepentingan Sukan yang disampaikan oleh Pegawai Pelajaran Kesihatan dari Pusat Promosi Kesihatan, Dayang Rusydiah binti Haji Sudin dan Awang Waajidun Ni’am bin Haji Dollah.

Para peserta program ketika mengikuti senamrobik.
Para peserta program ketika mengikuti senamrobik.
Salah seorang pelajar yang diambil sukatan berat badan dan ketinggian untuk penilaian BMI.
Salah seorang pelajar yang diambil sukatan berat badan dan ketinggian untuk penilaian BMI.

Program ini sebelumnya telah diadakan di Pusat Promosi Kesihatan dan Sekolah Rendah Sultan Hassan Bangar, Daerah Temburong dan akan diadakan lagi di Sekolah Rendah Pengiran Setia Negara Pengiran Mohd Yusof, Seria pada 25 Mei ini.

Adapun objektif program ini adalah bagi meningkatkan kefahaman mengenai pengambilan makanan sihat dan mengetahui akan kepentingan bersukan dalam kehidupan seharian.

Selain itu, melalui program ini, ia akan dapat melatih para pelajar untuk mengamalkan aktiviti fizikal secara konsisten dan juga mengamalkan pengambilan makanan yang sihat sebagai salah satu bentuk untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat.

ARTIKEL YANG SAMA