Amal gaya hidup sihat

Amal gaya hidup sihat

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 April – Ke arah meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan membudayakan kehidupan sihat kepada masyarakat di negara ini, Giant Rimba dengan kerjasama Pusat Promosi Kesihatan telah menganjurkan Jerayawara Tembakau dan Kehidupan Sihat, semalam.

Jerayawara sehari itu merupakan sebagai platfom untuk mempromosi kesihatan dengan memberikan bahan-bahan penting dan motivasi kepada pengunjung.

Promosi tersebut menyentuh mengenai cara untuk berhenti merokok, mengamalkan makanan sihat, mempraktikkan kaedah terbaik dalam membeli-belah terutamanya ketika memilih makanan, di samping menjaga keseimbangan pemakanan dan juga melakukan senaman.

Semasa jerayawara itu juga, Unit Tobacco Free 4 Life telah menjalankan pemeriksaan ke atas perokok untuk mengenal pasti tahap Karbon Monoksida dalam paru-paru mereka dengan menggunakan alat yang dipanggil ‘Smokerlyzer’.

Haji Zakaria ketika menyampaikan hadiah kepada pemenang peraduan mewarna.
Haji Zakaria ketika menyampaikan hadiah kepada pemenang peraduan mewarna.

Selain itu, Jerayawara turut dimeriahkan lagi dengan aktiviti-aktiviti seperi kuiz tembakau, peraduan mewarna, kuiz aktiviti fizikal, kuiz nutrisi, di mana setiap pemenang menerima hadiah berupa baucar tajaan Giant, Rimba.

Sesi Zumba selama sejam yang diketuai oleh Be Fit Get Fit Studio juga diadakan dan disertai oleh para pelanggan dari Klinik Cara Hidup Sihat dan beberapa orang kakitangan Giant Rimba.

Jerayawara berkenaan berakhir dengan penyampaian hadiah oleh wakil dari Pusat Promosi Kesihatan, Haji Zakaria bin Haji Kamis dan wakil Giant Rimba, Javed Irshad Sani kepada para pemenang yang menyertai aktiviti-aktiviti yang diadakan sepanjang jerayawara tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA